Ahad, 16 Julai 2017 | 2:08pm

RESPA bantu 5 beradik yatim piatu


NAWAWI (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada lima beradik anak yatim di Tanah Merah, hari ini.

TANAH MERAH: Prihatin nasib lima beradik yang kehilangan ibu bapa dalam kemalangan jalan raya di Baling, Kedah April lalu, mendorong Persatuan Pegawai Kanan Polis Bersara (RESPA), menyumbang RM26,220 bagi meringan beban yang ditanggung mereka.

Lima beradik itu, anak kepada pasangan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, Asisten Superintendan Mohd Nor Mat Yaub, 38, dan guru, Suriya Abdul Rahman, 37.

Timbalan Presiden RESPA, Datuk Nawawi Ismail, berkata pihaknya amat bersimpati dengan nasib lima beradik itu yang menjadi yatim piatu dalam sekelip mata dan kini tinggal bersama datuk mereka di Kampung Buluh, Tanah Merah.

"Menyedari keadaan itu, RESPA yang kini mempunyai lebih 600 keahlian di seluruh negara berjaya mengumpul RM26,220 untuk disumbangkan kepada lima beradik yatim piatu itu.

"Jumlah kutipan itu kita sumbangkan dalam bentuk Simpanan Amanah Saham Didik yang ditubuhkan RESPA," katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan kepada lima beradik itu di IPD Tanah Merah, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamed dan wakil Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Tanah Merah, Nik Zin Nik Soh.

Dalam kejadian 18 April lalu, Mohd Noor yang bertugas sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Baling dan Suriya, terkorban dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kampung Teluk Teduri, Baling, Kelima-lima anak Allahyarham iaitu Irdina Aliah, 11, Insyirah Aliah, 10, Muhammad Adib Mustakim, 8, Imanina Aliah, 6, dan Muhammad Adib Mirza, 4, kini dijaga oleh bapa Suriya, Abdul Rahman Daud, 65, dan isteri Che Shapiah Che Ahmad, 60.

Nawawi berkata, RESPA tampil bagi menghulur sumbangan itu dengan tulus ikhlas walaupun bapa kepada lima beradik itu bukan ahli dalam persatuan berkenaan.

"Lazimnya sumbangan seumpama itu hanya dihulurkan kepada waris ahli saja tetapi memikirkan nasib lima beradik kini tinggal sebatang kara, kita tampil membantu meringan bebanan mereka," katanya.

Sehubungan itu, katanya sumbangan itu boleh mendorong pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan seterusnya yang boleh dimanfaatkan lima beradik itu bagi keperluan mereka pada masa depan.

156 dibaca
Berita Harian X