Ahad, 16 Julai 2017 | 2:01pm

Tiada penyelewengan pembinaan LPT2

KUALA TERENGGANU: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) negeri mengakui tiada sebarang penyelewengan berlaku dalam pembinaan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) sepanjang kira-kira 185 kilometer bermula dari Jabur, Kemaman hingga ke Gemuroh, Kuala Terengganu.

Ahli Jawatankuasa PKMM negeri, Datuk Ir Wan Nazari Wan Jusoh berkata, harga ditawarkan kepada kontraktor pada awal pembinaan LPT 2 adalah sebanyak RM10.5 juta bagi setiap satu kilometer tetapi dinaikkan kepada RM18 juta sekilometer selepas berlaku kenaikan harga bahan binaan.

Katanya, hasil desakan kerajaan negeri, Kerajaan Pusat bersetuju melantik 12 kontraktor dan perunding Bumiputera tempatan melaksanakan projek melalui 12 pakej membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.85 bilion.

"Berdasarkan harga terkini, nilai bagi setiap satu kilometer LPT2 yang mula dibina pada 2004 dan dibuka secara berperingkat mulai 2011 kepada orang ramai adalah antara RM22.5 juta hingga RM25 juta," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-41 PKMM negeri, di sini, hari ini.

Perasmian Mesyuarat Agung PKMM negeri dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Mohd Jidin Shafee.

Turut hadir Yang Dipertua PKMM negeri, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri dan Timbalan Presiden PKMM, Datuk Wan Mohd Khalid Mohamad.

Ir Wan Nazari yang juga pengarah urusan syarikat perunding LPT2 berkata demikian ketika mengulas kenyataan pemimpin parti pembangkang yang mendakwa kerajaan negeri melakukan penyelewengan peruntukan dalam pembinaan LPT2.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak melakukan penyelewengan peruntukan dalam pembinaan LPT2 seperti yang didakwa dan diviralkan melalui laman sosial oleh pemimpin pembangkang.

Katanya, LPT 2 adalah lebuhraya bertaraf tinggi dengan menyediakan empat lorong dua hala dengan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk 10 persimpangan bertingkat, kawasan hentian Rehat dan Rawat (R&R), hentian sebelah, lampu jalan dan plaza tol berasaskan kriteria rekabentuk dan pemilihan laluan.

114 dibaca
Berita Harian X