Jumaat, 14 Julai 2017 | 5:30pm

Ipoh Cultural Parade 2017: Beberapa jalan utama ditutup


KETUA Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong menunjukkan peta lokasi penutupan jalan sempena program Ipoh Cultural Parade 2017 pada esok, Ahad dan 23 Julai ini, pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Ipoh, hari ini. - Foto Abdullah Yusof

IPOH: Beberapa jalan utama di bandar raya ini akan ditutup secara berperingkat sempena program Ipoh Cultural Parade 2017 pada esok, Ahad dan 23 Julai ini.

Ia bagi memberi laluan kepada perarakan seramai 2,000 peserta dari 40 kontinjen dan 150 kenderaan berhias sejauh 2.8 kilometer (km).

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata penutupan jalan secara berperingkat itu membabitkan Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Jalan S P Seenivasagam, Jalan Sultan Idris Shah, Jalan Dato' Onn Jaafar, Jalan Sultan Iskandar Shah, Jalan Perhentian dan Jalan Lahat.

Katanya, penutupan jalan esok bermula jam 9 malam hingga 11 malam hanya membabitkan Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab.

"Bagi raptai penuh program berkenaan pada Ahad ini dan program sebenar pada 23 Julai, semua jalan yang terbabit ditutup secara berperingkat hingga program berkenaan tamat pada tengah hari," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengguna jalan raya yang mahu menuju ke Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Ipoh boleh menggunakan beberapa jalan alternatif ke pintu belakang stesen berkenaan.

"Bagi pengguna dari arah Jalan Kuala Kangsar, mereka boleh menggunakan simpang lampu isyarat bawah jejambat Jalan Raja Muda Aziz terus ke Jalan Labrooy menuju ke Jalan Tun Razak, seterusnya ke Jalan St John dan masuk ke Jalan Regat Tun Perak.

"Pengguna dari Jalan Jelapang boleh menggunakan Jalan Silibin, Jalan Tun Razak, Jalan St John sebelum masuk ke Jalan Regat Tun Perak sebagai alternatif.

"Bagi pengguna dari Jalan Raja Permaisuri Bainun atau Jalan Leong Boon Swee, mereka boleh menggunakan Bulatan Bahagia terus ke Jalan Tun Abdul Razak serta Jalan Tun Razak dan masuk ke Jalan Regat Tun Perak," katanya.

Beliau berkata, seramai 90 pegawai dan anggota trafik IPD Ipoh ditugaskan untuk menjaga lalu lintas sepanjang program berkenaan berlangsung minggu hadapan.

310 dibaca
Berita Harian X