Jumaat, 12 Oktober 2018 | 4:29pm
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - NSTP/Imran Makhzan

Siasat juga orang yang buat dakwaan - Hadi

MARANG: “Siasat juga orang yang buat tuduhan,” kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berhubung dakwaan UMNO memindahkan RM2.5 juta kepada parti berkenaan dengan sumber wang itu mungkin dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diseleweng.

Beliau berkata, kepemimpinan PAS sentiasa bersedia untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuduhan itu bagi membersihkan nama parti.

“PAS terbuka untuk disiasat, MB (Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) dan EXCO bersedia disiasat kalau ada salah laku, kita mahu parti kita bersih di bawah kepimpinan kita dan siasat juga orang yang buat tuduhan, apa dia buat ketika jadi EXCO.

“Kita anggap tuduhan ini (menerima dana daripada UMNO) fitnah. Kita mempunyai sikap terbuka terhadap siapa nak beri derma, bila orang derma, kita tak tanya awak dari UMNO ke PAS... macam orang berniaga jual gula, tak wajib tanya duit (pelanggan) itu dapat atau rompak dari mana, bahkan derma orang bukan Islam pun kita tak soal kerana Islam tidak mengajar begitu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Diskusi Kesihatan di Dewan Tok Guru, Rusila di sini, hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan mengenai Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) Terengganu yang membuat laporan polis mendesak siasatan selepas tersebarnya salinan transaksi pemindahan wang daripada pegawai khas Bendahari UMNO sejumlah RM1.5 juta dan RM1 juta, masing-masing kepada Tabung Pembangunan Jawatankuasa Jabatan Pembangunan PAS Pusat (JPP) dan Shukrimun Shamsudin serta dua penama.

Pengarah Komunikasinya, Muammar Qaddafi Nasir, berkata pihaknya juga sudah membuat laporan kepada SPRM berhubung transaksi sama.

April lalu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, yang juga ahli PAN ketika berucap pada program di Guar Lobar, Padang Serai, Kedah, mendakwa terdapat tiga pemimpin PAS Terengganu menerima wang daripada UMNO.

Mahfuz mendakwa wang sebanyak RM1 juta dimasukkan melalui akaun khas yang dinamakan Akaun Amanah pada 21 Mac 2018 lalu.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia mendakwa sejumlah RM1.5 juta turut dimasukkan ke dalam akaun Jabatan Pembangunan PAS Pusat (JPP) atau Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.

1512 dibaca
Berita Harian X