Jumaat, 12 Oktober 2018 | 2:49pm
GAMBAR fail, Pengarah komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (PH), Port Dickson, Negeri Sembilan pada 9 Oktober lalu. - Foto Iqmal Haqim Rosman

PH yakin peratusan pengundi naik

PORT DICKSON: Pakatan Harapan (PH) optimis jumlah peratusan keluar mengundi esok akan mencatat kadar memberangsangkan, berdasarkan sentimen dan gerak kerja dilakukan sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata PH mengambil pelbagai inisiatif untuk memastikan orang ramai keluar mengundi, termasuk berkempen supaya pengundi luar pulang menunaikan tanggungjawab.

“Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi.

“Kita juga optimis dengan jumlah berkenaan. Saya berasa orang ramai teruja dengan sentimen kehadiran Perdana Menteri dari Parlimen Port Dickson.

“Sudah tentu kita jangka calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang, namun persoalannya adalah dari segi jumlah peratusan keluar mengundi,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Penerangan PKR merangkap ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, pihaknya sudah menghubungi 65,000 pengundi untuk memujuk mereka keluar mengundi.

“Kita akan meneruskan usaha ini kerana mahu Anwar menang dengan majoriti selesa,” katanya.

PRK Port Dickson menyaksikan saingan tujuh penjuru membabitkan Anwar; calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar serta lima calon Bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, bagi membolehkan Anwar yang juga Ketua Umum PKR bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Danyal, 68, memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk VS Mogan dan Mahfuz Roslan dari PAS.

312 dibaca
Berita Harian X