Jumaat, 12 Oktober 2018 | 2:44pm
GAMBAR fail, pelakon filem Tamil terkenal, Kamal Haasan ketika sidang akhbar filem Viswaroopam at JW Marriot Hotel pada tahun 2012. - Foto Saifullizan Tamadi

PRK PD: Pesanan Kamal Haasan buat Anwar

PORT DICKSON: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima kejutan manis daripada pelakon filem Tamil terkenal, Kamal Haasan, ketika kempen memasuki hari terakhir.

Ia susulan tersebarnya rakaman video pelakon berusia 63 tahun itu yang baru menceburi politik India, dengan menyatakan sokongannya terhadap Anwar bagi PRK Port Dickson menjelang hari pengundian esok.

Menerusi video selama satu minit 47 saat itu, yang dipercayai mula tersebar malam tadi, Kamal menyifatkan Ketua Umum PKR itu, yang juga rakannya, sebagai ‘sinar harapan’ kepada Malaysia.

Malah, katanya, PRK Port Dickson akan membawa Anwar ke Parlimen sebagai tempat yang selayaknya.

“Dalam iklim politik global yang menginginkan pemimpin boleh diteladani, mempunyai pemahaman sempurna, Anwar adalah contoh yang sempurna dan memberi harapan.

“Penduduk Port Dickson berpeluang memulakan episod hebat dalam sejarah Malaysia dengan membawa Anwar kembali ke Parlimen.

“Pada kesempatan ini, saya gembira dan berharap Anwar serta rakyat Malaysia menjadi yang terbaik untuk memulakan perjalanan baharu ini,” katanya.

Kamal turut berkongsi kegembiraan kerana rakannya itu mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, usaha Anwar itu dengan sendirinya bakal memperkukuhkan hubungan Tamil Nadu dengan Malaysia.

Kamal melancarkan Makkal Needhi Maiam atau Pusat Keadilan Rakyat pada Februari lalu, iaitu sebuah parti politik beribu pejabat di Tamil Nadu.

Parti itu bakal menyertai pilihan raya buat kali pertama pada proses pengundian umum India, berkemungkinan diadakan pada musim bunga Mumbai, di mana Perdana Menteri, Narendra Modi bertanding untuk penggal kedua.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lalu bagi membolehkan Anwar kembali ke Dewan Rakyat.

2137 dibaca
Berita Harian X