Jumaat, 12 Oktober 2018 | 2:31pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika melawat Pusat Media KKMM di The Grand Beach Resort. - Foto Aswadi Alias

Saya boleh rasakan kebebasan media - Dr Wan Azizah

PORT DICKSON: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berpuas hati dengan laporan media sepanjang proses kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

“Saya boleh rasakan kebebasan media ketika ini. Saya pasti pihak media juga berasa lebih bebas,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke Pusat Media di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah berharap kebebasan media yang diberikan kerajaan digunakan sebaik mungkin oleh pengamal media ketika ini.

“Media perlu sentiasa mempraktikkan etika kewartawanan dan bertanggungjawab terhadap setiap laporan.

“Jangan putar belitkan atau membuat spekulasi. Perlu seimbang dan raikan demokrasi dalam menerapkan konsep kebebasan media di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden PKR yang sedang bercuti bagi membantu kempen suaminya yang juga calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, PRK kali ini berjalan lancar walaupun persaingan agak sengit.

“Kita ada bekas Menteri Besar, personaliti media sosial dan calon lain bagi PRK kali ini, bagaimanapun saya harap pengundi di Port Dickson memberikan peluang kepada Anwar untuk berkhidmat sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

349 dibaca
Berita Harian X