Jumaat, 12 Oktober 2018 | 12:39pm
GAMBAR fail, Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan undang-undang Pilihanraya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PRK PD: ERC tegur Anwar

PORT DICKSON: Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) menegur beberapa kegiatan yang tidak sepatutnya berlaku dalam kempen calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi jawatankuasa itu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata antara kegiatan terbabit ialah kehadiran dua menteri di sini, jamuan makan malam percuma dan kehadiran isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, atas kapasiti Timbalan Perdana Menteri.

"Menteri datang dan buat janji sepatutnya tidak berlaku pada masa ini (tempoh kempen). Datang masa lainlah.

"Berkenaan makan malam percuma, itu tidak boleh. Pihak lain juga jangan anjurkan makan malam percuma bagi pihak calon kerana itu adalah kesalahan.

"Kehadiran Dr Wan Azizah atas kapasiti isteri dan Presiden PKR tidak menjadi kesalahan, namun memperkenalkan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam majlis dihadirinya adalah 'not very correct' (tidak berapa betul) dan 'not proper' (kurang sesuai)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Abdul Rashid berkata, berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu, tidak banyak penyalahgunaan jentera dan kemudahan kerajaan dilakukan ketika ini.

Malah, katanya, kesalahan yang berlaku disifatkan sebagai ‘tidak disengajakan’ dan terbawa-bawa dengan amalan lama.

Beliau berkata, ERC yang diberi masa dua tahun untuk melakukan kajian penambah baikan pilihan raya oleh kerajaan, menjangkakan perubahan sepenuhnya dalam sistem di Malaysia boleh dilihat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, antara 15 komponen penambahbaikan SPR dan Undang-Undang Pilihan Raya yang dikaji termasuk kemungkinan menukar sistem pilihan raya iaitu daripada pemenang undi terbanyak yang diamalkan ketika ini kepada perwakilan berkadar yang digunakan di banyak negara lain.

"Kajian turut merangkumi larangan kawalan media oleh kerajaan supaya semua calon mendapat liputan seimbang, selain larangan penggunaan jentera serta kemudahan kerajaan bagi kempen membabitkan calon parti pemerintah.

"Kita turut melakukan kajian terhadap proses hari penamaan calon dan pengundian yang terlalu meriah dengan perarakan penyokong hingga boleh mencetuskan pergaduhan seperti berlaku di sesetengah negara Afrika," katanya.

Abdul Rashid berkata, amalan penggunaan bahan kempen termasuk poster yang terlalu banyak dan membazir juga termasuk dalam kajian.

Beliau berkata, kajian itu memberi tumpuan terhadap memperkasakan SPR sendiri, termasuk memberi suruhanjaya itu kebebasan serta kuasa penguatkuasaan undang-undang.

Katanya, pertimbangan turut dibuat untuk memastikan pemilihan pengerusinya dilakukan dengan mengambil kira pendapat rakyat.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan mewujudkan undang-undang khas bagi menghalang Ahli Parlimen sengaja mengosongkan kerusi, namun menegaskan ia tidak perlu diletak di bawah SPR, sebaliknya lebih sesuai mengikut kuasa Parlimen.

3376 dibaca
Berita Harian X