Khamis, 11 Oktober 2018 | 6:46pm
MOHD Isa beramah mesra bersama ibu tunggal ketika mengadakan kempen sempena PRK Parlimen Port Dickson di Kampung Paya, Port Dickson. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Saya masih relevan - Isa

PORT DICKSON: “Saya tak tahu apa alasan dia (Tan Sri Dr Rais Yatim) kata saya tidak relevan dalam politik.”

Calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Tan Sri Mohd Isa Samad, berkata persoalan sama ada seseorang itu masih relevan atau sebaliknya adalah subjektif.

“Relevan boleh juga disebabkan lokasi. Mungkin dia (Rais) di Jelebu sudah tidak relevan, tetapi saya di Port Dickson masih relevan,” katanya ketika ditemui di Kampung Paya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Rais yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sembilan bahawa zaman politik Mohd Isa sudah berlalu.

Rais dilaporkan berkata, Mohd Isa pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun dan sepatutnya menggunakan tempoh itu untuk membawa perubahan di Port Dickson.

Ditanya mengenai hasil tinjauan Institut Darul Ehsan yang mendapati calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan memenangi PRK itu, Mohd Isa berkata ia cuma hasil kajian.

Katanya, setiap calon boleh membuat kajian sendiri dan hasil tinjauan pasukannya sendiri mendapati beliau akan menang.

“Begitu juga dakwaan institut itu yang mengatakan penyokong saya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi dan Bagan Pinang akan menyokong Anwar. Ini semua hanya perang psikologi dan tidak sama sekali menakutkan saya,” katanya.

Malah, Mohd Isa yakin masih ramai pengundi Barisan Nasional (BN) dan PKR akan menyokongnya dan mengundinya Sabtu ini.

“Saya tidak nampak berlaku perubahan arus. Apa yang saya nampak masih ramai menyokong saya,” katanya.

698 dibaca
Berita Harian X