Selasa, 2 Oktober 2018 | 2:33pm
ANWAR bersama AJK Persatuan Nelayan Kawasan Port Dickson, Awalludin Buyong (kiri) di Jeti Nelayan Batu 1 Port Dickson sempena kempen PRK Parlimen Port Dickson. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

BERSATU tetap bantu kempen Anwar

PORT DICKSON: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tetap menggerakkan jentera bagi membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun kepemimpinan parti di peringkat negeri sudah dibubarkan.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya, berkata isu kononnya parti berkenaan tidak akan membantu Anwar berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson berikutan pembubaran itu, tidak berbangkit.

“Pembubaran yang dimaksudkan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini hanya membabitkan pimpinan dan bukan ahli. Kita masih mempunyai ahli di Negeri Sembilan yang akan bergerak membantu calon PH.

“Kita menurunkan jentera membantu Anwar berkempen sepanjang PRK Port Dickson dan buat masa ini jentera diketuai Ahli Parlimen Kuala Pilah, Eddin Syazlee Shith yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia.

“Ia berikutan Tan Sri Dr Rais Yatim yang dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sembilan kini berada di luar negara,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Hasil perbincangan dalam PH, Marzuki berkata, BERSATU diamanahkan menjaga Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang sebagai kawasan angkat sepanjang tempoh kempen PRK Port Dickson.

Minggu lalu, Muhyiddin mengumumkan pembubaran serta-merta BERSATU Negeri Sembilan kerana menimbulkan pelbagai masalah serta melanggar perlembagaan parti.

Beliau berkata, keputusan membubarkan semua bahagian dan cawangan di negeri itu, termasuk sayap Pemuda dan Srikandi dibuat hasil mesyuarat pimpinan tertinggi parti berkenaan.

Susulan pembubaran itu, BERSATU Negeri Sembilan diketuai oleh Rais.

1137 dibaca
Berita Harian X