Jumaat, 14 September 2018 | 8:30pm
SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail. - Foto Adzlan Sidek

PRK tidak jejas pemilihan PKR

SEREMBAN: Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson tidak akan menjejaskan Pemilihan PKR yang akan diadakan secara berperingkat bermula minggu hadapan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya menjangkakan proses pemilihan akan selesai ketika PRK berlangsung kelak.

Katanya, pemilihan parti berkenaan tidak dapat ditangguhkan lagi kerana akan melanggar peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Pemilihan ini sudah ditangguhkan selama 18 bulan dan tidak boleh ditangguhkan lagi. Kita sudah maklumkan kepada ROS (mengenai tarikh pemilihan), malah semua tempoh jawatan dalam parti juga akan tamat pada akhir November ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Taklimat Tatacara Pemilihan dan E-Voting di Dewan Regent di sini, hari ini.

Dalam Pemilihan PKR itu nanti, lebih 14,000 calon daripada 218 cabang di seluruh negara akan bertanding bagi merebut 10,080 jawatan.

Sementara itu, mengulas mengenai peratusan keluar mengundi yang rendah bagi tiga PRK sebelum ini, Saifuddin berkata, pihaknya akan mengadakan kempen lebih strategik termasuk bertemu sendiri dengan seramai mungkin pengundi di kawasan Parlimen itu.

Katanya, pihaknya akan meminta ahli PKR dan semua parti komponen Pakatan Harapan (PH) untuk membantu bagi memastikan peratusan keluar mengundi meningkat.

“Tumpuan kita ketika ini adalah untuk berusaha mengekalkan tahap sokongan sedia ada. Saya optimis dengan komitmen semua rakan parti, PRK kali ini dapat berjalan dengan baik.

“Sekarang, kita cuma tunggu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memuktamadkan tarikh penamaan calon dan pengundian saja,” katanya.

Katanya, beliau juga sudah bertemu dengan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagi mendapatkan sokongan padu parti itu.

Selain itu, katanya, PKR juga bersetuju melantik Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, sebagai Pengarah PRK Parlimen Port Dickson dengan dibantu oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

196 dibaca
Berita Harian X