Jumaat, 14 September 2018 | 4:14pm
AHLI Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid. - Foto Roslin Mat Tahir

Saya akan turun ke Port Dickson - Abdullah Sani

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid membidas sikap pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang cuba menonjolkan bahawa parti itu paling berkuasa dalam Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, tindakan pemimpin BERSATU Bahagian Port Dickson yang cuba menghalang dirinya untuk turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson adalah tidak masuk akal, sekali gus menggambarkan BERSATU mahu menjadi ketua kepada PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

"Siapa pemimpin BERSATU hendak halang (berkempen di Port Dickson)? Saya minta BERSATU sedarlah diri sikit. Parti baru setahun jagung sudah mahu menunjukkan sikap monopoli dalam PH.

"Parti yang bertanding di Port Dickson ialah PKR. Kenapa pula saya tidak boleh berkempen? Ingin ditegaskan saya akan turun ke Port Dickson dan saya tidak takut dengan ugutan daripada BERSATU," katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Abdullah Sani yang juga Calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) berkata, asas kepada PH ialah PKR serta mengingatkan pemimpin BERSATU supaya menghormati perkara itu.

"Hormatilah semangat serta asas perjuangan PH dan jangan ada mana-mana parti cuba menunjukkan kekuasaan mereka," katanya.

BERSATU Bahagian Port Dickson sebelum ini memberi amaran kepada Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Abdullah Sani supaya tidak turun berkempen pada PRK Parlimen Port Dickson.

Penyelaras BERSATU bahagian itu, Ramli Awang, mendakwa pihaknya tidak dapat menjamin sokongan lebih 2,000 ahli parti di kawasan berkenaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim jika kedua-dua pemimpin PKR terbabit berdegil.

Katanya, BERSATU tidak mempunyai sebarang masalah dengan PKR, namun amat terkesan dengan Rafizi dan Abdullah Sani yang kerap membuat tuduhan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin mahu menjatuhkan Anwar secara tidak bermaruah.

Abdullah Sani sebelum ini mendakwa Dr Mahathir Mohamad dan Daim selaku Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) mendalangi konspirasi untuk menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri dan mendapat kerjasama Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Tegas Abdullah Sani, beliau tetap dengan pendirian akan bercakap tanpa berselindung terhadap mana-mana pemimpin supaya jangan mengkhianati antara satu sama lain.

2633 dibaca
Berita Harian X