;
Khamis, 17 Mei 2018 | 4:02pm
MOHD Sharkar Shamsuddin. - Foto Nazirul Roselan

3.5 juta ahli UMNO akan tentukan Presiden parti

KUANTAN: UMNO Pahang menyerahkan kepada lebih 3.5 juta ahlinya untuk memilih calon yang bertanding jawatan Presiden parti itu.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, berkata UMNO wajar mengambil pendekatan lebih terbuka jika terdapat calon yang ingin bertanding jawatan nombor satu parti.

"Tiada sekatan untuk mana-mana ahli UMNO untuk bertanding jawatan Presiden parti, sekiranya mereka merasakan layak maka boleh kemukakan pencalonan dan bertanding.

"Namun, terserah kepada kepemimpinan bahagian untuk menentukannya," katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.

Mohd Sharkar juga berkata, UMNO Pahang memberi sokongan penuh terhadap kepemimpinan Naib Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjalankan tugas-tugas presiden di samping Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

"Buat masa ini kita (UMNO Pahang) beri sokongan kepada Datuk Seri Zahid (Ahmad Zahid Hamidi) dan Datuk Seri Hisham (Hishammuddin Hussein) menerajui parti dan menjalankan tugas-tugas pemulihan parti.

"UMNO Pahang sudah mengadakan pertemuan dan bersetuju berdiri teguh di belakang mereka berdua. Soal pemilihan Presiden ia terserah kepada ahli UMNO.

"Kita di peringkat negeri tidak melobi sesiapa," katanya.

Parti keramat orang Melayu itu dijangka mengadakan pemilihan peringkat parti hujung tahun ini selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)

Dalam PRU-14 minggu lalu, UMNO menang 54 kerusi Parlimen namun tidak cukup untuk membentuk kerajaan Persekutuan di bawah parti Barisan Nasional (BN) yang tewas buat kali pertama selepas 61 tahun memerintah kepada Pakatan Harapan (PH).

Mohd Sharkar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO menyatakan soal pemilihan tampuk kepimpinan bukan boleh dipaksa kerana ia adalah tanggung jawab setiap ahli UMNO untuk menentukannya.


DATUK Seri Najib Razak melaungkan hidup UMNO pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. - Foto Eizairi Shamsudin
15848 dibaca
Berita Harian X