Khamis, 17 Mei 2018 | 1:24pm
TAN Sri James Jemut Masing. - Foto Salhani Ibrahim

Tubuh perikatan politik baharu yang relevan

KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) menyatakan sokongan terhadap cadangan penubuhan sebuah perikatan baharu menggabungkan parti politik tempatan di negeri ini.

Presiden PRS, Tan Sri James Jemut Masing menyifatkan cadangan yang dikemukakan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu sebagai langkah terbaik melindungi hak dan kepentingan negeri ini.

"Lebih baik jika kita dapat membentuk perikatan politik baharu untuk menentang Pakatan Harapan (PH) dan parti sekutunya pada pilihan raya umum akan datang.

"Ini kerana, BN bukan lagi 'jenama' menarik kepada pengundi di Semenanjung, begitu juga Sarawak," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Semalam, Presiden PBB, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, menyatakan akan bertemu tiga rakan komponennya dalam BN Sarawak untuk memutuskan sama ada kekal atau meninggalkan gabungan itu, seterusnya membentuk satu perikatan baharu.

Beliau yang juga Ketua Menteri Sarawak berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi PBB di Ibu pejabat BN Sarawak, Jalan Bako, di sini.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan tarikh mesyuarat bersama rakan dari parti komponen BN itu akan diadakan.

Selain PBB dan PRS, dua lagi parti yang membentuk BN Sarawak ialah Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri berharap kesemua rakan komponen BN Sarawak dapat bertemu dengan segera dan berbincang mengenai perkara itu.

"Kita perlu mencari jalan terbaik, terutama mengenai hala tuju baharu kita. Apapun yang berlaku, hak dan keistimewaan Sarawak perlu sentiasa dilindungi.

"Saya akan membincangkan cadangan ini dengan kepimpinan tertinggi PRS," katanya.

Jika parti komponen BN Sarawak meneruskan cadangan membentuk perikatan politik baharu, BN bakal menyaksikan 'kehilangan' 19 lagi kerusi Parlimen di negeri ini, selain 72 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasainya.

3499 dibaca
Berita Harian X