Rabu, 16 Mei 2018 | 9:29pm
PRESIDEN Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada sidang media di Kota Kinabalu, sebentar tadi. - Foto Malai Rosmah Tuah

WARISAN cadang enam nama dalam Kabinet Persekutuan

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) mengemukakan enam nama Ahli Parlimen yang mewakili parti itu untuk dipertimbangkan dilantik sebagai Menteri dalam Kabinet Persekutuan.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata antara nama yang disenaraikan termasuk Ahli Parlimen Penampang yang juga Timbalan Presiden WARISAN, Darell Leiking dan Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata, nama lain yang turut dikemukakan ialah Ahli Parlimen Silam, Datuk Mohammad Din Ketapi.

"Kita ada ramai tokoh (Ahli Parlimen) yang ada kelayakan berdasarkan latar belakang mereka, antaranya Darell, Vui Keong, Mohammad Din dan beberapa lagi.

"Selain daripada WARISAN, saya juga minta agar Ahli Parlimen DAP di Sabah dapat disuarakan oleh DAP Pusat untuk mewakili Sabah di peringkat Kabinet Pusat," katanya pada sidang media selepas majlis angkat sumpah jemaah menteri Kabinet Sabah, di sini, sebentar tadi.

Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah, berkata beliau akan ke Kuala Lumpur dalam masa terdekat untuk menemui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung senarai nama mewakili WARISAN bagi menyertai Kabinet Pusat.

"Saya sudah hantar senarai nama tetapi selepas ini saya akan ke Kuala Lumpur untuk berjumpa jumpa dengan tokoh yang buat keputusan, khusunya Perdana Menteri bagi memperjelaskan lagi secara terperinci senarai yang kita kemukakan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata jemaah menteri Kabinet Sabah yang mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin petang tadi adalah barisan Kabinet yang seimbang kerana merangkumi semua parti dalam pakatan kerajaan selain pelbagai kaum dan kepakaran.

Katanya, buat pertama kali juga seorang wanita dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri mewakili masyarakat Cina iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Christina Liew.

Mohd Shafie berkata, pelantikan itu selain beberapa lagi wanita dalam senarai Pembantu Menteri adalah pengiktirafan terhadap golongan wanita dalam kerajaan pimpinannya.

Selain Christina, turut dilantik Timbalan Ketua Menteri dalam Kabinet pimpinan Mohd Shafie ialah Pemangku Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau (ADUN Dilantik) yang mewakili Bumiputera bukan Islam.

Seorang lagi ialah Naib Presiden WARISAN, Datuk Jaujan Sambakong yang mewakili Bumiputera Islam.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, beliau juga akan melihat kemungkinan melantik beberapa tokoh terdiri daripada ahli perniagaan, bekas penjawat awam dan pemimpin korporat yang berpengalaman dalam Majlis Penasihat Kerajaan seperti diwujudkan di peringkat Kerajaan Pusat.

11026 dibaca
Berita Harian X