;
Rabu, 16 Mei 2018 | 5:22pm
Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen. - Foto BERNAMA

Kerajaan BN Sarawak perlu ketepikan ego

KUCHING: Kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak perlu memperkukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan diterajui Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan kesinambungan usaha mendapatkan hak dan keistimewaan negeri ini.

Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen, berkata pelbagai tawaran diberikan kepada BN Sarawak sebelum ini, termasuk 'perjanjian kerjasama', namun tidak diendahkan.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan ada hikmah di sebalik keengganan kerajaan negeri menandatangani 'perjanjian kerjasama' itu.

"Jika mereka (kerajaan negeri) berjaya mendapatkan penurunan kuasa itu, pasti mereka menggunakannya untuk kepentingan politik," katanya pada sidang media di Ibu pejabat DAP Sarawak di sini, semalam.

Hadir sama Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Wong King Wei.

Antara tawaran diberikan PH kepada kerajaan negeri jika berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah bayaran 20 peratus royalti minyak dan gas kepada Sarawak berbanding hanya lima peratus ketika ini.

PH turut menawarkan penurunan kuasa sepenuhnya kepada kerajaan negeri dalam bidang pendidikan, termasuk bidang kesihatan serta kuasa dalam hal perniagaan dan perdagangan.

Ia termasuk bayaran 50 peratus pendapatan cukai di Sarawak kepada kerajaan negeri, berbanding sistem sedia ada yang mana semua pendapatan cukai disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan dan Sarawak perlu memohon peruntukan.

Chieng Jen yang juga Pengerusi DAP Sarawak, berkata memandangkan kerajaan negeri enggan menerima 'penurunan kuasa' yang ditawarkan, maka kuasa itu akan terus kekal bersama Kerajaan Persekutuan.

"Kita sudah menyerahkan 'perjanjian kerjasama' untuk memastikan kelancaran proses berkenaan, namun beliau (Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg) enggan menandatanganinya.

"Memandangkan mereka enggan menerimanya, kita tidak dapat menurunkan kuasa itu tetapi mengambil kira keadaan dan cara BN Sarawak bertindak. Kita rasa mereka tidak layak untuk menerima kuasa itu," katanya.

6493 dibaca
Berita Harian X