Rabu, 16 Mei 2018 | 12:53pm
YANG di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob (tiga dari kanan) beramah mesra bersama ahli-ahli EXCO baru sambil diperhatikan oleh Ketua Menteri, Adly Zahari (empat dari kiri) pada Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh. - Foto Khairunisah Lokman

10 EXCO Melaka angkat sumpah jawatan

AYER KEROH: Ketua Menteri, Adly Zahari, mengumumkan senarai 10 EXCO baharu pada Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka, di Dewan Seri Negeri, di sini, pagi tadi.

Mendahului senarai pada majlis pelantikan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Mohd Rafiq Naizamohideen; Tey Kok Kiew (Bandar Hilir-DAP); Muhammad Jailani Khamis (Rembia-PKR); Mohd Sufi Abd Wahab (Durian Tunggal-Parti Amanah Negara/AMANAH); dan G Saminathan (Gadek-DAP).

Yang turut dilantik, Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu-DAP), Ginie Lim Siew Lin (Machap Jaya-PKR), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas-PPBM), Low Chee Leong (Kota Laksamana-DAP) dan Kerk Chee Yee (Ayer Keroh-DAP).

Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Muhamad, dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Roslan Ibrahim, turut hadir.

Adly tidak menyatakan portfolio khusus bagi anggota EXCO dilantik, namun dijadual mengumumkannya pada sidang media di Seri Negeri, petang ini.

Terdahulu, beliau dalam ucapannya berkata, semua ahli EXCO kerajaan negeri baru dilantik itu perlu merealisasikan tanggungjawab dan amanah besar dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang mengandungi 20 aku janji serta 85 inisiatif bagi tempoh lima tahun.

"Selepas PRU-14, semua pihak yang dipilih rakyat perlu bersama-sama kerajaan baharu ini untuk membangunkan Malaysia amnya dan Melaka khususnya untuk menjadi negeri lebih maju, sejahtera lagi berwibawa.

"Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka akan membawa misi Melaka Berwibawa Harapan Rakyat dengan sistem pentadbiran bertitik tolak daripada konsep peduli rakyat, elemen berpakat dan bermuafakat, serta integriti dalam setiap keputusan untuk lebih telus, adil dan saksama," katanya.

Beliau yang juga ADUN Bukit Katil berkata, usaha mensejahterakan rakyat boleh dilaksanakan melalui tiga kaedah.

Katanya, kaedah berkenaan ialah memastikan tiada golongan kelaparan dengan pendapatan rakyat mencukupi, tiada kejahilan dengan memberi ilmu pengetahuan dan pendidikan secukupnya; serta menghilangkan kebimbangan rakyat mengenai isu sosial dan sebagainya.

"Seluruh 20 aku janji dengan 85 inisiatif ini berbentuk inklusif merangkumi pelbagai bidang, termasuk pentadbiran kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pentadbiran tanah, pendidikan, kesihatan, kebajikan dan kerohanian, sukan, alam sekitar serta teknologi maklumat membabitkan semua kaum.

"Pentadbiran baharu ini akan meneruskan setiap pelaburan asing yang memberi manfaat ke arah kesejahteraan rakyat, selain menambah baik produk pelancongan sedia ada dan menerokai yang baharu.

"Di samping itu, mewujudkan ekonomi yang kondusif, meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam dan memperkukuhkan sosioekonomi," katanya.

Senarai EXCO Melaka

1. Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput-PPBM)

2. Tey Kok Kiew (Bandar Hilir-DAP)

3. Muhammad Jailani Khamis (Rembia-PKR)

4. Mohd Sufi Abd Wahab (Durian Tunggal-AMANAH)

5. G Saminathan (Gadek-DAP)

6. Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu-DAP)

7. Ginie Lim Siew Lin (Machap Jaya-PKR)

8. Noor Effandi Ahmad (Telok Mas-PPBM)

9. Low Chee Leong (Kota Laksamana-DAP)

10. Kerk Chee Yee (Ayer Keroh-DAP)

5693 dibaca
Berita Harian X