Selasa, 15 Mei 2018 | 3:20pm
NAIB Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong (tengah) semasa sidang media di Pejabat Gerakan Pulau Pinang, Jalan Macalister, Georgetown. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

GERAKAN Pulau Pinang tolak peletakan jawatan Chang Yeow

GEORGETOWN: Kesemua 13 Bahagian GERAKAN Pulau Pinang sebulat suara menolak peletakan jawatan Pengerusi parti negeri, Teng Chang Yeow.

Naib Pengerusi GERAKAN Pulau Pinang, Oh Tong Keong, berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti dan mengkaji keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Kami berpendapat keputusan PRU-14 adalah disebabkan tsunami rakyat dan bukan kerana kepemimpinan Chang Yeow yang lemah.

"Oleh itu, kami fikir tanggungjawab ini harus dipikul bersama," katanya pada sidang media di Pejabat GERAKAN negeri, di sini, hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri kesemua barisan EXCO dan Ketua Bahagian GERAKAN negeri.

Mengulas lanjut, Tong Keong berkata, Chang Yeow yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, memiliki pengalaman dan pengetahuan luas dalam politik serta hal ehwal pentadbiran kerajaan.

Malah, katanya, GERAKAN Pulau Pinang bawah kepemimpinan Chang Yeow turut memainkan peranan mengimbangi pentadbiran kerajaan negeri, selain beliau dianggap sebagai pemimpin paling berkaliber dalam parti.

"GERAKAN negeri masih memerlukan Chang Yeow.

"Bagaimanapun jika beliau masih dengan keputusan untuk meletakkan jawatan, penggantinya hanya akan dipilih pada pemilihan parti peringkat negeri pada September depan," katanya.

Pada 10 Mei lalu, Chang Yeow mengumumkan keputusan untuk bersara daripada politik selepas kekalahan teruk BN Pulau Pinang pada PRU-14.

BN hanya memenangi masing-masing dua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang pada pilihan raya kali ini.

Untuk rekod, Chang Yeow pernah berundur daripada jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang selepas kekalahan parti itu pada PRU-13, namun kemudian dilantik semula ke jawatan sama.

4889 dibaca
Berita Harian X