Ahad, 13 Mei 2018 | 8:43pm
DATUK Hanafi Mamat. - Foto Fathil Asri

Pemimpin UMNO keluar parti tidak berjiwa kental

KOTA BHARU: UMNO Kelantan menegaskan individu yang tidak mempunyai semangat kental atau memikirkan kebendaan saja akan keluar parti dan menyertai Pakatan Harapan (PH).

Bendaharinya, Datuk Hanafi Mamat, mengakui ketika ini UMNO menerima kejutan besar, namun sekiranya ahli parti mempunyai jiwa seorang pejuang dan mengenang usaha yang dilakukan parti itu, mereka tidak akan meninggalkan UMNO.

Beliau berkata, UMNO sebuah parti yang cukup besar dan mempunyai jasa kepada negara terutama Melayu, sepatutnya setiap ahli tidak terlalu mudah meninggalkan parti yang sudah berusia 72 tahun.

"Namun, detik inilah kita mampu menilai seseorang itu. Jika mereka tiada semangat pejuang, mereka boleh meninggalkan parti kerana individu seperti itu tidak diperlukan kerana tiada pendirian.

"Saya mengingatkan ahli UMNO di Kelantan supaya jangan memikirkan kebendaan, sebaliknya merapatkan kembali saf perjuangan. Sebelum mengambil sesuatu keputusan, lihat perjuangan UMNO dan apa yang dilakukan parti itu kepada negara selama ini.

"UMNO tidak bersalah dan pemimpin tertinggi, Datuk Seri Najib Razak juga sudah meletakkan jawatan. Sepatutnya waktu ini kita bermuhasabah dan menguatkan kembali jentera parti.

"Memang kita sudah tiada peruntukan, namun jadikan PAS, DAP, PKR sebagai contoh kerana mereka juga tiada peruntukan sebelum ini, namun tetap berjuang. Malah, PAS sehingga hari ini tetap berjuang," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan Wanita UMNO Kelantan, Zarina Md Eusope, bersama 50 penyokongnya mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Zarina berkata, keputusan itu dibuat berikutan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Barisan Nasional (BN) dilihat tidak mampu lagi membela nasib rakyat khasnya Melayu kerana perjuangan asal UMNO membela rakyat.

Katanya, tindakannya menyertai PPBM itu tidak dipengaruhi mana-mana pihak dan ia dibuat atas dasar meneruskan perjuangannya.

4370 dibaca
Berita Harian X