Selasa, 24 April 2018 | 3:04pm
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada majlis Pengumuman Calon Barisan Nasional Perak dan Penyerahan Watikah bagi Pilihan Raya ke-14 di Dewan Serbaguna Kediaman Menteri Besar Perak. - Foto Abdullah Yusof

Selesai segera kekecewaan, isu dalaman parti - TPM

IPOH: Sebarang permasalahan atau rasa kecewa yang wujud dalam parti komponen Barisan Nasional (BN), terutama mereka yang tidak dicalonkan atau berhubung agihan kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) perlu ditangani segera, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata masa berbaki penamaan calon mesti digunakan bagi menyelesaikan isu intra parti atau masalah dalaman parti dengan memenangi hati mereka yang tidak terpilih.

Beliau berkata, bukan mudah bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk seratus peratus memuaskan hati semua pihak dalam BN dalam memutuskan calon mewakili BN bertanding, namun apabila nama diumumkan, mereka yang terpilih adalah calon terbaik berdasarkan maklum balas peringkat akar umbi dan negeri, malah kajian bebas dan 'empirical' (hakikat).

Katanya, individu yang terpilih sebagai calon dan penyokong mereka pula jangan terlalu gembira dengan pemilihan itu kerana lebih ramai bersedih berikutan tidak dicalonkan.

"Kemustahilan ini (memilih individu tertentu sebagai calon) mengundang 'resentment' (kekecewaan) daripada mereka yang tak dicalonkan, apabila ada 'resentment' dari mereka tak dicalonkan atau tidak dicalonkan semula tentunya mengundang beberapa permasalahan.

"Kemenangan dan kekalahan kita turut disebabkan penyelesaian masalah 'intra party problem' iaitu permasalahan dalaman.

"Oleh yang demikian, saya ingin ingatkan diri saya dan semua, oleh kerana di luar sana ramai yang lebih bersedih dari kita...saya minta calon, pencadang dan penyokong tentukan bahawa kalau ada permasalahan di kalangan mereka yang berada dalam kumpulan 'resentment' ini langkah-langkah segera mesti dilakukan untuk tempoh berbaki sebelum penamaan calon iaitu tenangkan hati dan minda mereka, mereka yang berada dalam kumpulan 'resentment' ini bawa bersama kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pengumuman Calon BN Perak oleh di Kediaman Menteri Besar di sini, hari ini di mana pengumuman calon dilakukan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Ahmad Zahid, yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk, berkata setiap calon atau mana-mana parti komponen bukan mewakili diri sendiri, sebaliknya BN dan dalam konteks Perak, sumbangan mereka bukan sahaja menambah kemenangan kerusi Parlimen malah memastikan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu dimenangi semula supaya BN dapat mentadbir semula negeri itu.

Beliau berkata, ia bukan sekadar mengekalkan kerusi dimenangi sebelum ini, malah usaha mesti dilakukan supaya BN memperoleh kemenangan lebih banyak kerusi DUN dalam bentuk 'retain' (kekalkan) dengan menggandakan undi popular dan 'regain' (tawan semula) terutama bagi kerusi majoriti kecil.

"Saya minta supaya saudara saudari yang mewakili Parlimen dan DUN masing-masing melihat bahawa soal 'retain' dan 'regain' ini diberikan penekanan.

"Saya ulangi permasalahan dalaman atau 'intra party problem' ini, saya tak mahu lihat dan dengar laporan jika ada di luar sana di mana bilik gerakan PDM (Pusat Daerah Mengundi) dan di tempat yang 'hotspot' (kawasan panas) atau 'flash point' (kawasan tumpuan) di Perak menimbulkan sebarang permasalahan.

"Saya harap bukan sahaja calon tetapi jentera parti hendaklah selesaikan 'flash point' dan 'hotspot'yang berlaku," katanya.

Ahmad Zahid menegaskan, kekuatan jentera parti dalam menyelesaikan masalah dalaman menentukan kemenangan BN serta mendepani cabaran yang datang dari luar iaitu calon pembangkang dan bebas.

"Saya juga hadapi calon bebas (di Parlimen Bagan datuk), tentunya di kawasan berlainan hadapi masalah berlainan dan saya mengharapkan sepenuhnya kali inilah kita bangkit semula di Perak untuk tentukan DUN memperoleh lebih dua pertiga majoriti," katanya.

397 dibaca
Berita Harian X