Selasa, 24 April 2018 | 2:35pm
DATUK Mohd Sabri Alwi. - Foto NSTP
DATUK Mohd Sabri Alwi (tengah) beramah mesra bersama sebahagian guru semasa hadir pada majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kuala Terengganu Tahun 2018 di Wisma Darul Iman. - Foto Ghazali Kori

Tukar status Yang Berhormat kepada Yang Berkhidmat

KUALA TERENGGANU: "Saya tak mahu jadi yang berhormat, sebaliknya panggil sahaja saya yang berkhidmat," kata calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Datuk Sabri Alwi.

Katanya, bukan gelaran dan status yang menjadi keutamaan, sebaliknya memberi perkhidmatan kepada rakyat menjadi keutamaan.

"Apa gunanya berstatus dan megah dengan panggilan Yang Berhormat, tetapi gagal melaksanakan tanggungjawab seperti diamanahkan rakyat," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Perayaan Hari Guru Peringkat Daerah Kuala Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini.

Yang turut hadir adalah Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Terengganu, Jelani Sulong, calon BN parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Nawawi Ismail, calon BN DUN Wakaf Mempelam, Salleh Othman dan calon DUN Batu Burok, Zamri Awang Hitam.

Mohd Sabri yang juga bekas Pegawai Penyelaras DUN Ladang berkata, pengundi di Parlimen Kuala Terengganu dan empat DUN diminta memberi peluang kepada calon BN untuk berkhidmat.

"Berilah peluang kepada saya dan empat rakan untuk memberi perkhidmatan kepada seluruh pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei ini.

"Jika saya serta empat lagi rakan gagal memberi perkhidmatan terbaik pada pengundi, hukumlah kami pada PRU-15 akan datang dan kami berjanji untuk tidak membuat permintaan ini untuk kali kedua," katanya.

1441 dibaca
Berita Harian X