Selasa, 24 April 2018 | 9:46am
KETUA Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan Senarai Calon BN Sarawak PRU14 di Ibu Pejabat Parti PBB Petra Jaya Kuching. - Foto Nadim Bokhari

BN Sarawak gugur 9 penyandang

KUCHING: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun, yang juga penyandang kerusi Parlimen Selangau, antara nama besar digugurkan dalam senarai pencalonan Barisan Nasional (BN) Sarawak bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Joseph yang juga Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), digugurkan berikutan pemecatannya dari parti itu kelmarin kerana mengingkari peraturan dan perlembagaan parti berkenaan.

Turut menerima nasib sama, penyandang kerusi Parlimen Lubok Antu, Datuk William Nyalau, juga selepas dipecat dari parti mewakili masyarakat Dayak itu kerana melakukan kesalahan sama.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Douglas Uggah Embas pula digugurkan bagi memberi laluan kepada muka baharu, Robert Lawson Chuat, yang menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban yang disandangnya kepada Uggah dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11).

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) juga tidak mencalonkan semula Datuk Seri Dr James Dawos Mamit (Puncak Borneo), Datuk Norah Abdul Rahman (Tanjung Manis), Datuk Abd Wahab Dollah (Igan), Datuk Ahmad Lai Bujang (Sibuti) dan Tan Sri Dr Muhammad Leo Toyad (Mukah), masing-masing atas faktor kesihatan serta mahu bersara dari arena politik.

Bekas penyandang kerusi Saratok, Tan Sri William Mawan pula digugurkan selepas secara rasmi menyertai PBB seiring dengan kedudukan kerusi berkenaan yang secara tradisinya milik Parti Demokratik Progresif (PDP).

Norah ketika ditemui di Sarikei menyatakan penghargaannya kepada pucuk pimpinan BN Sarawak di atas kepercayaan diberikan kepadanya selama dua penggal mewakili Parlimen Tanjung Manis.

"Inilah masa terbaik untuk berundur, malah sudah tiba masa untuk saya memberi tumpuan kepada keluarga dan mendalami ilmu agama. Saya akur dan menerima dengan hati terbuka keputusan pucuk pimpinan," katanya.

Beliau mengakui masih banyak yang mahu dilaksanakannya untuk rakyat di Parlimen Tanjung Manis, namun tidak berkesempatan menunaikannya dan sudah pasti usaha itu bakal diteruskan penggantinya.

"Biarpun tidak lagi memegang jawatan, saya tetap terus 'turun padang' kerana Tanjung Manis cukup dekat di hati saya... di kawasan ini saya ada banyak saudara dan rakan rapat yang sama-sama berjuang membangunkan kawasan ini," katanya yang mahu bergerak atas pentas badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu rakyat.

Di Miri, Ahmad Lai ketika dihubungi menyatakan pengguguran itu adalah atas permintaannya sendiri atas faktor kesihatan.

Malah, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, yang memberi kepercayaan kepadanya berkhidmat di Parlimen Sibuti selama ini.

"Penduduk Sibuti perlu menyokong calon baharu yang ditampilkan bagi memastikan kawasan itu terus kekal sebagai kubu kuat BN di wilayah utara Sarawak," katanya.

2843 dibaca
Berita Harian X