Selasa, 17 April 2018 | 6:30pm
DATUK Seri Mah Siew Keong. - Foto Aizuddin Saad

Jangan gugat keharmonian Teluk Intan

IPOH: Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong, yakin pengundi di Parlimen Teluk Intan bersikap rasional dalam memilih wakil rakyat yang mampu berkhidmat kepada mereka.

Penyandang Parlimen Teluk Intan itu berkata, siapa pun calon DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), keharmonian di parlimen itu tidak harus digugat.

"Pertembungan ini (persaingan dalam PRU) bukan pertembungan yang mudah, tetapi hasil kerja keras dalam masa singkat, GERAKAN bersama komponen BN (Barisan Nasional) yang lain akan berikan persaingan sengit (kepada DAP)," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Walaupun tidak menyebut nama mana-mana individu, kenyataan Siew Keong dikaitkan dengan pengumuman pembangkang malam tadi yang menamakan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming sebagai calon pakatan pembangkang untuk kerusi berkenaan pada PRU kali ini.

Kerusi itu bakal menyaksikan persaingan sengit kerana Kor Ming dijangka berhadapan dengan Siew Keong yang sebelum ini sudah beberapa kali menyatakan hasrat mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenanginya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 31 Mei 2014.

Pada PRK itu, Siew Keong menumpaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, dengan majoriti 238 undi.

Kor Ming pula pada PRU-13 memenangi kerusi Parlimen Taiping dengan menewaskan Ketua Wanita GERAKAN, Datuk Tan Lian Hoe, dengan majoriti 11,745 undi serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelapang menumpaskan calon BN, Chang Kok Aun, dengan majoriti 4,604 undi.

Siew Keong berkata, walaupun tewas di kerusi itu pada PRU-13 dan hanya menang tipis pada PRK 2014, pelbagai kemajuan dan pembelaan dimulakan di Teluk Intan hingga menyaksikan bandar itu melalui proses transformasi.

Katanya, warga Teluk Intan lebih tahu siapa yang melakukan kerja, berkhidmat dan memenuhi janji di kawasan itu.

"Saya sudah berkhidmat dan bekerja keras di Teluk Intan. Saya percaya rakyat akan memilih secara rasional berdasarkan rekod perkhidmatan calon.

"Sesiapa pun yang menawarkan diri di Teluk Intan, saya harap kehadiran mereka tidak memecah-belahkan dan menggugat keharmonian di bandar ini.

"Pilihan raya lima tahun sekali, tetapi calon yang menang harus bekerja dan menjaga Teluk Intan setiap hari sepanjang tempoh lima tahun.

"Kemajuan, pembelaan dan keharmonian di Teluk Intan harus dijaga. Jangan sampai dalam kalangan keluarga tidak bertegur sapa dan jiran bermusuhan," katanya.

1392 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »