Selasa, 17 April 2018 | 5:45pm
KAMARUL Zaman Yusoff. - Foto Ihsan Pembaca

'Kenapa perlu desak Nik Omar?'

KOTA BHARU: Tindakan pakatan pembangkang Kelantan terus berusaha memujuk anak bekas Mursyidul Am PAS, Nik Omar Nik Aziz, selain menjanjikan jawatan Menteri Besar, membuktikan kelompok itu terdesak menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, berkata ia menjadi petanda jelas pakatan pembangkang terutama Parti Amanah Negara (PAN) ketandusan pemimpin berwibawa untuk ditonjolkan sebagai calon PRU-14.

"Mereka terdesak hingga terpaksa 'mengemis' kepada Nik Omar walaupun anak bekas Menteri Besar Kelantan itu sudah menyatakan pendirian tidak dapat bertanding.

"Nik Omar sangat penting kepada kelangsungan politik PAN Kelantan kerana pemimpinnya mahu berpaut kepada pengaruh besar Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Gerakan Tadbir Kelantan Demi Masa Depan (TEKAD), Fikran Hamshi Mohamad Fatmi, turut menyifatkan pakatan pembangkang di Kelantan tiada keyakinan berdepan PRU-14 apabila masih mengharapkan Nik Omar untuk bertanding.

"Tindakan pakatan pembangkang mencerminkan mereka ketandusan pemimpin untuk diangkat sebagai Menteri Besar Kelantan jika dapat membentuk kerajaan," katanya.

Terdahulu, sumber pakatan pembangkang menyebut Nik Omar akan dijadikan calon Menteri Besar Kelantan sekiranya bertanding atas tiket PAN pada PRU-14.

Bagaimanapun, laporan sebelum ini menyebut, Nik Omar mengesahkan tidak akan bertanding sebagai calon PAN kerana tidak mendapat restu ibunya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Nik Omar dilaporkan berkata, ibunya meminta beliau tidak terbabit dalam pertandingan sama ada menerusi PAN atau mana-mana parti.

4753 dibaca
Berita Harian X