Isnin, 16 April 2018 | 11:45pm
Orang ramai yang hadir di majlis pengumuman calon pakatan pembangkang untuk kerusi Parlimen Teluk Intan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 di Pusat Komuniti DAP Teluk Intan. - Foto Muhaizan Yahya

Kor Ming bertanding di Teluk Intan

TELUK INTAN: Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, diumumkan sebagai calon pakatan pembangkang untuk kerusi Parlimen Teluk Intan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, dalam program ceramah pakatan pembangkang, di sini, malam ini.

Kor Ming dijangka berhadapan dengan Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong, yang sebelum ini sudah beberapa kali menyatakan hasrat mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenanginya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 31 Mei 2014.

Pada PRK itu, Siew Keong menumpaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, dengan majoriti 238 undi.

Kor Ming pula memenangi kerusi Parlimen Taiping pada PRU-13, menewaskan Ketua Wanita GERAKAN, Datuk Tan Lian Hoe, dengan majoriti 11,745 undi.

Beliau juga memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelapang, menumpaskan calon BN, Chang Kok Aun, dengan majoriti 4,604 undi.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, mengesahkan pencalonan Kor Ming untuk bertanding di Teluk Intan.

Beliau berkata, oleh kerana kerusi Parlimen Teluk Intan disandang oleh seorang menteri, maka pakatan pembangkang perlu mengemukakan 'nama besar' untuk memenangi kerusi itu.

"Kita hantar seorang tokoh yang akan dilantik menjadi menteri jika pakatan pembangkang menang di Putrajaya, untuk bertanding di Teluk Intan," katanya.

4348 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »