Isnin, 16 April 2018 | 6:53pm
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose (kanan) semasa sidang media Majlis Profesor Negara (MPN) berkaitan manifesto BN dan turut bersama Timbalan Pengerusi MPN, Profesor Ulung, Datuk Dr Prof Shamsul Amri Baharuddin (kiri) di Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Batal projek terowong P Pinang perkara yang waras

PUTRAJAYA: Tawaran Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang untuk membatalkan projek terowong dasar laut jika mendapat mandat seperti yang dinyatakan menerusi manifestonya adalah tindakan tepat dan waras untuk menyelamatkan negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Raduan Che Rose, berkata kebolehlaksanaan projek itu dilihat tersasar selain tiada keseriusan kerajaan negeri ditadbir DAP untuk melaksanakan projek berkenaan.

"Seperti yang kita lihat banyak isu yang menyelubungi projek itu, malah ia juga lebih kepada kepentingan untuk kumpulan tertentu.

"Bagi saya tawaran untuk membatalkan projek terowong ini satu perkara yang waras ," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Bagi aktivis alam sekitar, Gurmit Singh Kishan Singh, pula projek terowong dasar laut tidak berfaedah kepada rakyat secara jangka panjang, selain hanya merosakkan alam sekitar.

Beliau yang juga Pengerusi Pusat Alam Sekitar, Teknologi dan Pembangunan Malaysia (CETDEM) berkata tiada keperluan kepada kerajaan negeri menyediakan satu lagi 'kemudahan asas', yang akhirnya hanya menguntungkan pemaju.

"Sejak dulu lagi saya sudah kata projek terowong dasar laut itu langsung tidak penting dan hanya membazir duit. Pulau Pinang tidak perlukan terowong.

"Pada pendapat saya, usaha BN ini adalah baik, namun perlu juga naik taraf perkhidmatan awam lain, terutamanya feri dan tren," katanya.

Pembatalan projek terowong dasar laut, adalah antara 60 tawaran dalam enam teras utama Manifesto BN Pulau Pinang yang diumumkan semalam, selain penyelesaian isu banjir, bukit botak, perumahan rakyat dan kesesakan lalu lintas.

Mengulas lanjut, Raduan berkata, 60 tawaran dalam Manifesto BN Pulau Pinang juga bakal memberi manfaat kepada rakyat negeri itu kerana kemampuan kerajaan BN menunaikan janji.

"Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini dilihat peluang terbaik BN untuk menawan Pulau Pinang menerusi janji yang ditawarkan, biarpun berdepan laluan agak sukar, namun ia tidak mustahil," katanya.

Dalam pada itu, Gurmit Singh pula berkata, beliau berharap kerajaan negeri yang akan diberi mandat selepas ini dapat menaik taraf dan menambah baik sistem pengangkutan air seperti feri, yang lebih murah dan selamat.

Katanya, feri adalah antara pengangkutan awam yang paling menjimatkan dan terbaik, berikutan keadaan geografi Pulau Pinang yang dikelilingi laut.

"Feri sepatutnya menjadi pengangkutan utama, tetapi saya difahamkan kekerapan perkhidmatan feri dikurangkan untuk menjimatkan kos.

"Kerajaan negeri sebenarnya boleh bekerjasama dengan Kerajaan Pusat untuk membina lebih banyak jeti feri di beberapa tempat, kemudian menyediakan bas 'shuttle' kepada pengguna. Ia lebih selamat dan mudah," katanya.

Pada 2015, kerajaan DAP Pulau Pinang mengumumkan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) yang merangkumi pembinaan kemudahan pengangkutan awam Transit Aliran Ringan (LRT), tiga lebuh raya berkembar dan projek terowong dasar laut.

Pelan itu turut membabitkan pembinaan tiga pulau buatan di selatan Pulau Pinang, yang masing-masing berkeluasan 809 hektar, 526 hektar dan 324 hektar bagi tujuan perindustrian, perumahan serta komersial untuk membiayai kos PIP.

643 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »