Isnin, 16 April 2018 | 6:08pm
TUN Dr Mahathir Mohamad. - Foto AFP

Kecewa Dr M sekongkol dengan pembangkang

LANGKAWI: Akar umbi UMNO di Langkawi kecewa apabila Tun Dr Mahathir Mohamad dicalonkan di parlimen berkenaan mewakili parti pembangkang pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14).

Malah, bekas pemimpin itu disifatkan telah melakukan 'dosa politik besar' kerana menghina parti yang pernah diterajuinya sebagai presiden suatu ketika dahulu.

Ketua UMNO cawangan Sungai Kedak, Saad Salleh, berkata ramai ahli UMNO akar umbi kini hilang hormat terhadap Dr Mahathir berikutan tindakan pemimpin berusia 93 tahun itu.

"Dulu kami hormat dan sanjung, tetapi sekarang tidak kerana beliau sudah menjadi pengkhianat kepada parti, bangsa dan tanah air.

"Eloklah, kita tidak perlu lagi membuang masa memikirkan masa depan pemimpin itu kerana tindakannya telah melukakan bangsa Melayu," katanya.

Ketua UMNO Cawangan Kampung Bayas, Zainon Saidin, berkata faktor usia tidak menjamin bekas pemimpin UMNO itu boleh mengulangi sejarah silamnya sebagai peneraju negara yang hebat.

"Memang Dr Mahathir adalah tokoh yang patut dihormati kerana membangunkan Langkawi seperti yang ada sekarang, tetapi kena ingat ketika itu dia adalah pemimpin UMNO.

"Pembangkang kini mencanangkan Dr Mahathir akan dilantik semula sebagai Perdana Menteri selepas memenangi kerusi Parlimen Langkawi.

"Sedarkah mereka bahawa jawatan Perdana Menteri memerlukan tenaga yang banyak dan jadual padat, tak mungkin dapat dilakukan oleh individu berusia 93 tahun," katanya.

Berikutan itu, Zainon berkata, kemajuan yang dicapai Langkawi ketika ini dijangka jatuh merudum dan hasrat menjadikan pulau ini mencapai matlamat menjadi antara 10 pulau dan destinasi eko-pelancongan terbaik dunia berkubur.

"Malah, kami ahli UMNO akar umbi di Langkawi kecewa kerana Tun (Dr Mahathir) sanggup bersekongkol dengan DAP untuk menggulingkan kerajaan yang dipimpin BN," katanya.

Bagi Ketua Cawangan UMNO Kampung Sungai Itau, Matun Mahmud, hasrat bekas Perdana Menteri itu untuk merampas kerusi Parlimen Langkawi satu perbuatan khianat kepada UMNO yang beliau sama-sama tunjangi sebelum ini.

"Ketika beliau menghadapi saat sukar dalam kepimpinan UMNO, kami ahli akar umbi sanggup menjadi perisai dan menepis segala tohmahan, tetapi tidak sangka ini balasan kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata, Tun Dr Mahathir diyakini tidak dapat mengembalikan zaman ketika berada di dalam UMNO selepas memilih bersekongkol dengan pembangkang.

"Nasihat saya, orang Langkawi jangan keliru dalam soal ini. Jika tidak di bawah BN, beliau (Dr Mahathir) tidak akan mampu membangunkan Langkawi kerana hanya wakil rakyat BN yang mampu membawa kemajuan di pulau ini," katanya.

Mereka berkata demikian ketika diminta mengulas pemilihan Tun Dr Mahathir sebagai calon kerusi Parlimen Langkawi mewakili pembangkang yang diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, malam tadi.

1365 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »