Isnin, 16 April 2018 | 5:26pm
Abu Hasan Sarif (tiga dari kanan) melakukan gimik penyerahan papan tanda sekolah bebas dadah sempena program Bengkel Sekolah Bebas Dadah Peringkat Daerah Kubang Pasu dan Pelancaran Aplikasi Kamus Antidadah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Hitam. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Mukhriz khuatir ditolak pengundi DUN Ayer Hitam

JERLUN: Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak yakin sokongan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam yang sebahagian besar Melayu apabila mengambil keputusan berpindah ke DUN Jitra pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14).

Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Abu Hasan Sarif, berkata perpindahan itu kerana Mukhriz sedar penilaian pengundi di DUN Ayer Hitam terhadap perkhidmatannya ketika menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan.

Selain DUN Jitra di dalam kawasan Parlimen Kubang Pasu, Mukhriz juga akan diletakkan bertanding bagi Parlimen Jerlun.

Abu Hasan berkata Mukhriz bimbang akan tewas sekiranya bertanding di kawasan yang majoritinya pengundi Melayu luar bandar.

"Beliau sendiri mungkin bimbang tidak akan mendapat sokongan daripada pengundi di DUN Ayer Hitam dan parlimen Jerlun, pengundi di sini sudah tahu menilai dan mempunyai pengalaman dengan perkhidmatan yang beliau berikan semasa menjadi wakil rakyat di sini.

"Selama ini UMNO Bahagian Jerlun yang mengambil tanggungjawab terus membantu penduduk kawasan Ayer Hitam yang memilih Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) selepas Mukhriz dipecat UMNO dua tahun lalu.

"Jika beliau yakin akan mendapat sokongan di DUN Ayer Hitam dan Parlimen Jerlun sudah tentu beliau tidak akan berpindah bertanding di DUN Jitra yang ratanya pengundi di situ daripada masyarakat Cina dan Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang digantung sementara semalam yang menyenaraikan Mukhriz di DUN Jitra dan Parlimen Jerlun pada PRU-14.

Mengulas lanjut, Abu Hasan yang juga ADUN Kota Siputeh yang juga dalam Parlimen Jerlun berkata percaturan meletakkan Mukhriz di dua kawasan itu juga berikutan kebimbangan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri yang risau pengundi Melayu tidak memihak kepada parti itu yang kini bekerjasama dengan DAP.

Katanya DAP adalah sebuah parti yang menjadi musuh orang Melayu dan Islam seperti yang pernah dikatakan oleh Dr Mahathir sebelum ini.

"Dulu sewaktu Tun Dr Mahathir menjadi perdana menteri selama 22 tahun beliau telah meninggalkan kesan kepada orang Melayu dan Islam dengan menyatakan DAP adalah parti rasis, musuh Melayu dan Islam, DAP dimusuhi oleh beliau dan UMNO satu ketika dulu.

"Tapi sekarang beliau bersekongkol dengan DAP di bawah pakatan pembangkang yang pastinya pengundi Melayu akan tolak," katanya.

Terdahulu, Abu Hasan mewakili Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz merasmikan Bengkel Sekolah Bebas Dadah Peringkat Daerah Kubang Pasu dan Pelancaran Aplikasi Kamus Antidadah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Hitam di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri, Mahadzir Elias.

2981 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »