Rabu, 14 March 2018 | 4:22pm
TAN Sri Muhammad Muhd Taib. - Foto Faiz Anuar

BN perlu namakan calon MB Selangor

KUALA LUMPUR : Barisan Nasional (BN) Selangor perlu berani mengemukakan calon Menteri Besar mempunyai imej yang setara atau lebih baik daripada pemimpin pembangkang.

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata calon berkenaan perlu mempunyai personaliti yang boleh mengembalikan keyakinan rakyat di negeri berkenaan.

"Saya bersetuju (syor BN menamakan calon Menteri Besar Selangor). Saya pun melontarkan beberapa personaliti bukan sebab apa, kita nak bagi tahu 'that kind of personality' perlu ditonjolkan kerana Selangor sebuah negeri tekanan di Malaysia.

"Imej Menteri Besar yang akan ditonjolkan UMNO mestilah imej yang setara atau lebih baik daripada pemimpin pembangkang sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai bicara santai 'Anda Tanya Kita Jawab' Diskusi UMNO-Online yang dihoskan Ketua Penerangan UMNO merangkap Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, di sini hari ini.

Tetamu jemputan lain adalah bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin.

Ketika ditanya siapakah calon yang layak menandingi Menteri Besar Selangor ketika ini, Datuk Seri Azmin Ali, Muhammad berkata beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan BN untuk membuat pilihan.

"Siapa (calon MB) saya tidak tahu, terserah kepada pucuk pimpinan BN. Mungkin belum ada (calon) yang ditonjolkan, saya dulu, pada 1986, tiba-tiba ditonjolkan menjadi Menteri Besar," katanya.

Ketika ditanya cadangan setiap calon BN Selangor untuk mempunyai manifesto khas mengikut kawasan masing-masing, Muhammad mahu wakil rakyat Selangor tumpu kepada isu pokok untuk menguruskan manusia.

Katanya, wakil rakyat digesa menggunakan strategi dan kaedah yang dekat dengan pengundi masa kini.

"Wakil rakyat kena bergerak dari zaman ke satu zaman terutama di Selangor, negeri yang sudah berjaya, jangan guna konsep wakil rakyat yang dulu, beri kain batik, peruntukkan.

"Kita (wakil rakyat baharu) kena menguruskan kejayaan .. (kejayaan) bukan untuk membuat pembangunan yang sudah 99 peratus selesai tetapi cara untuk mendidik masyarakat berjaya," katanya.

Tegas beliau, wakil rakyat baharu perlu faham peranan mereka untuk mendekati pengundi supaya rakyat boleh kembali yakin kepada mereka dan boleh membantu BN merampas semula Selangor.

"Kita macam masak, ramuan kena cukup, wakil rakyat kena mantap, cukup dan rajin," katanya ketika ditanya formula menyaingi pakatan harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

2817 dibaca
Berita Harian X