Selasa, 20 Februari 2018 | 5:49pm
ZAMBRY menerima buah limau sambil diperhatikan Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong (dua dair kiri) di majlis Sambutan Tahun Baru Cina parti GERAKAN peringkat negeri Perak di Arena Sungai Siput. - Foto L.Manimaran

GERAKAN calonkan Tan Lian Hoe di DUN Jalong

SUNGAI SIPUT: GERAKAN mengumumkan Datuk Tan Lian Hoe sebagai calon yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jalong, Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata pemilihan dibuat berdasarkan kesungguhan Ketua Wanita GERAKAN itu berkhidmat sepanjang empat tahun di kawasan berkenaan.

Beliau juga yakin terhadap pengalaman yang ada pada Lian Hoe untuk merampas kembali kerusi DUN Jalong yang dimenangi DAP pada PRU lalu.

"Kerusi (DUN) Jalong diwakili oleh parti GERAKAN dan walaupun kita kalah (PRU-14), kita tetap terus berkhidmat di sini sepanjang tempoh empat tahun lalu.

"Kita harap ada keyakinan untuk memenangi kawasan berkenaan kerana Datuk Tan Lian Hoe bekerja kuat, setiap hari beliau turun ke Sungai Siput untuk membantu rakyat.

"Kerjasama yang kuat antara parti komponen BN (Barisan Nasional) turut memberi keyakinan bahawa kali ini saya pasti kita ada peluang," katanya kepada pemberita pada majlis Sambutan Tahun Baharu Cina GERAKAN Perak di sini, hari ini.

Majlis yang dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 3,000 rakyat pelbagai kaum di Sungai Siput itu turut dihadiri Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Siew Keong, yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, berkata beliau sudah menyerahkan nama Lian Hoe kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Zambry.

Bagaimanapun, katanya, terpulang kepada pucuk pimpinan BN untuk membuat keputusan akhir mengenai calon yang akan bertanding di kerusi DUN Jalong yang secara tradisinya milik BN tetapi jatuh ke tangan pembangkang pada PRU-12 dan 13.

Pada PRU-13, calon BN, Liew Yew Aw tewas kepada Loh Sze Yee dari DAP, yang mendapat majoriti 6,796 undi, manakala seorang lagi yang bertanding di kerusi itu adalah calon bebas.

Kerusi itu dan DUN Lintang yang dimenangi BN berada dalam Parlimen Sungai Siput.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Dzulkifli Harun, berkata pemilihan calon diumumkan Siew Keong itu adalah berdasarkan rekod pengalaman serta jawatan Timbalan Menteri yang pernah dipegang Lian Hoe sebelum ini.

Katanya, ada perkembangan baik dalam kalangan pengundi di sekitar DUN Jalong dan DUN Lintang serta Parlimen Sungai Siput, yang menunjukkan rakyat mulai sedar selepas mereka diabaikan oleh wakil rakyat parti pembangkang.

"Rakyat di kawasan Sungai Siput mulai sedar kerana mereka tidak menikmati pembangunan, peruntukan mahupun kebajikan sekalipun yang selama ini BN tetap terus salurkan," katanya.

740 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »