Selasa, 20 Februari 2018 | 2:35pm
KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron (tengah) pada sidang media Program Penyerahan Watikah dan Ramah Mesra Ketua Menteri Bersama Warga Menara Persekutuan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh. - Foto Khairunisah Lokman

Melaka cadang 10 kerusi Parlimen, 40 DUN PRU-14

AYER KEROH: Melaka memerlukan sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen dan 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi membolehkan wakil rakyatnya memberi prestasi terbaik kepada peringkat akar umbi.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Idris Haron, berkata penambahan jumlah kerusi berkenaan bagi persempadanan semula di negeri ini difikirkan wajar memandangkan sesetengah kawasan mempunyai jumlah pengundi yang tinggi.

"Sebagai ketua parti yang mewakili Melaka, saya fikir ada keperluan untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji semula kedudukan lokaliti pengundi, seperti di kerusi Bukit Katil dan Tangga Batu yang mempunyai jumlah pengundi yang tinggi kira-kira 120,000 orang.

"Malah, di DUN Paya Rumput, jumlah pengundinya sekitar 31,000 orang dan layak untuk diangkat menjadi sebuah Parlimen baharu. Jika satu DUN mempunyai jumlah pengundi antara 30,000 hingga 35,000 pengundi, bagaimana wakil rakyatnya hendak menjalankan tugas dengan baik.

"Jadi, saya merayu SPR melihat kedudukan itu dengan mengadakan proses penyusunan dan persempadanan semula tanpa kepentingan politik mana-mana pihak," katanya selepas menyerahkan watikah dan beramah mesra bersama kira-kira 400 kakitangan dan pegawai di Menara Persekutuan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Roslan Ibrahim.

Ketika ini, Melaka mempunyai enam kerusi Parlimen iaitu Alor Gajah, Masjid Tanah, Tangga Batu, Kota Melaka, Bukit Katil dan Jasin serta 28 kerusi DUN.

Mahkamah Persekutuan semalam, memutuskan cadangan SPR untuk melaksanakan urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan DUN tidak boleh dipinda dengan semakan kehakiman.

Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, yang mempengerusikan panel tiga hakim, berkata tindakan SPR berhubung urusan persempadanan semula itu tidak mengikat mana-mana pihak dan oleh itu tidak boleh dipinda dengan semakan kehakiman.

Keputusan itu, sekali gus menolak dua permohonan dikemukakan dua Ahli Parlimen DAP dari Perak dan tujuh pengundi dari Melaka bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, yang tidak menyebelahi mereka berhubung semakan semula kehakiman.

3673 dibaca
Berita Harian X