Jumaat, 16 Februari 2018 | 1:20pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Gerakan di Menara PGRM. -Foto Luqman Hakim Zubir

Peluang 50-50 BN di Teluk Intan

KUALA LUMPUR: Peluang untuk Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah 50:50, kata Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Katanya, tugas mempertahankan kerusi panas itu adalah satu tugas besar memandangkan majoriti undi yang diperoleh BN ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 2014 hanya 238.

Bagaimanapun, Siew Keong, yang juga penyandang kerusi itu, yakin BN tetap berpeluang untuk mengekalkan kerusi berkenaan berdasarkan kepada khidmat yang diberikannya kepada masyarakat Teluk Intan sejak lebih tiga tahun lalu.

"(Mempertahankan) kerusi Teluk Intan adalah cabaran begitu besar kerana kita menang pada PRK hanya dengan 238 undi.

"Kita juga mesti akui pada PRU-13, BN kalah di Teluk Intan dengan perbezaan lebih 7,313 undi, iaitu satu angka begitu besar. Jadi, bukan senang.

"Namun, saya yakin kita ada peluang tetapi peratusan kemenangan adalah 50:50," katanya pada sidang media Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2018 anjuran GERAKAN di sini, hari ini.

BH dan NST sebelum ini melaporkan sebanyak 46 kerusi Parlimen, termasuk 29 kerusi yang disandang wakil rakyat BN bakal menyaksikan pertembungan sengit pada PRU-14 susulan ia hanya dimenangi dengan majoriti tipis kurang 3,000 undi.

Kerusi Teluk Intan yang disandang Siew Keong adalah antara yang disebut bakal berdepan saingan sengit kerana hanya memiliki majoriti 238 undi ketika beliau menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, pada PRK 2014.

Siew Keong, yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, turut bertanding kerusi sama pada PRU-13, namun tewas kepada calon DAP, Seah Leong Peng, yang memperoleh majoriti 7,313 undi.

Siew Keong berkata, penduduk bercampur di Teluk Intan merangkumi Melayu sebanyak 40 peratus, Cina (40 peratus) dan India (20 peratus) menjadi antara faktor tugas mempertahankan kerusi itu mencabar.

"Saya juga maklum dengan tindakan pemimpin pembangkang yang datang ke Teluk Intan (mempengaruhi penduduk), dan berkata jika dapat kalahkan saya, mereka juga nak hapuskan GERAKAN.

"Ini semua retorik yang digunakan, namun dalam tiga tahun ini kita sudah berkhidmat dan buat banyak kegiatan serta kemudahan di Teluk Intan seperti universiti selain projek tebatan banjir. Jadi, saya yakin kita ada peluang," katanya.

3180 dibaca
Berita Harian X