Isnin, 12 Februari 2018 | 7:53pm
PENASIHAT Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil beramah mesra bersama penerima bantuan pada Majlis sumbangan Prihatin sempena Tahun Baru Cina Peringkat Parlimen Kepong di Dewan MCA, Kepong Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad

Pastikan Kepong jadi milik BN - Shahrizat

KEPONG: Wanita UMNO berharap wakil sayap parti itu akan dipilih menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), termasuk di kerusi yang selama ini tradisinya menjadi milik Wanita.

Ketua Peregerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, berkata, selaku ketua, sudah menjadi perjuangan beliau dan barisan kepemimpinan lain untuk meminta supaya ada tempat untuk wakil mereka menjadi calon.

Kata Shahrizat, pihaknya sudah meminta sekurang-kurangnya 30 peratus kouta untuk Wanita UMNO menjadi calon pada pilihan raya akan datang, tetapi akhirnya tetap ada perundingan bersama Presiden parti.

"Soal siapa terpilih menjadi calon, semuanya terpulang kepada kebijaksanaan Datuk Seri Najib Razak.

"Saya selaku ahli parti yang setia akan menyerah bulat-bulat kepada pucuk pimpinan parti dalam menentukan siapa calon atau di mana kerusi yang akan dipertandingkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Sumbangan Prihatin Tahun Baharu Cina Barisan Nasional (BN) Parlimen Kepong, di sini, hari ini.

Sementara itu, Shahrizat berkata, Wanita UMNO akan terus bekerja keras dan memberi sepenuh tenaga bagi memastikan Parlimen Kepong kembali kepada BN.

Katanya, ia tidak mustahil kerana selama ini, bantuan serta pembangunan yang diberikan pada kawasan itu hingga menjadi sebuah metropolis adalah hasil perjuangan BN dan bukan pembangkang.

"Ia adalah fakta, jika tiada bantuan daripada kerajaan (BN), sudah lama ia menjadi kawasan 'jin bertendang'.

"Tetapi dengan usaha pemimpin BN, kawasan terbabit membangun pesat dengan pelbagai kemudahan, selain menawarkan banyak peluang pekerjaan.

"Kami berharap, pada PRU-14 akan datang penduduk terutama pengundi Cina di Parlimen Kepong akan memberi peluang kepada BN," katanya.

732 dibaca
Berita Harian X