Ahad, 14 Januari 2018 | 5:28pm

MCA, GERAKAN tidak patut umum kerusi PRU-14


PENGARAH Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff. - Foto ihsan pembaca

KUALA LUMPUR: Parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak perlu terlalu ghairah mengumumkan mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kerana keputusan berhubung perkara itu ditentukan pengerusi.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff, berkata MCA dan GERAKAN tidak seharusnya terikut-ikut dengan gelagat parti pembangkang yang memperkatakan dengan secara terbuka isu agihan kerusi sesama mereka kerana ia bertentangan dengan semangat toleransi dan setiakawan BN.

Katanya, tindakan itu mendahului Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, sedangkan sebelum ini semua sudah akur untuk menyerahkan soal penentuan kerusi kepadanya.

"BN juga bersetuju penentuan kerusi akan dibuat melalui prinsip calon boleh menang tanpa mengira kerusi tradisi malah mungkin mengguna pakai konsep calon langsung juga.

"Apabila MCA dan GERAKAN menyebut secara terbuka jumlah kerusi mereka minta berasaskan kepada konsep kerusi tradisi ini boleh dianggap cubaan menekan Pengerusi BN supaya mengikut kehendak mereka.

"Apabila ini berlaku, sama ada mereka berjaya atau tidak, ia boleh digunakan sebagai isu untuk menyerang BN, jika Pengerusi BN akur beliau akan diserang pengundi Melayu, jika tidak beliau akan diserang pengundi bukan Melayu pula," katanya mengulas mengenai pengumuman jumlah kerusi untuk PRU-14 oleh MCA dan GERAKAN semalam dan hari ini.

Semalam, MCA mengumumkan akan mengekalkan jumlah kerusi untuk dipertandingkan dalam PRU-14 sama seperti pada PRU-13, iaitu 37 kerusi Parlimen dan 90 Dewan Undangan Negeri (DUN).


PRESIDEN MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai. - Foto Aziah Azmee

GERAKAN pula hari ini mengumumkan sudah menyerahkan calon di 45 kerusi iaitu jumlah yang sama ditandingi pada PRU-13. Pada PRU-13 GERAKAN bertanding di 45 kerusi iaitu 11 kerusi Parlimen dan 33 DUN.

Beliau yang juga Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia, berkata, dalam suasana politik negara masih dicirikan oleh politik perkauman, MCA dan GERAKAN tidak seharusnya membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk menyerang BN dari sudut perkauman, termasuk dari segi agihan kerusi.

"Pada masa sama, tindakan Presiden GERAKAN sekadar menyebut parti itu akan melakukan proses periksa dan imbang dalam DUN juga adalah tidak patut kerana ia seolah-olah satu pengakuan kalah sebelum berjuang.

"Dalam suasana pemimpin BN lain bertungkus-lumus untuk mengalahkan DAP di Pulau Pinang, tambahan pula dengan pelbagai masalah urus tadbir di negeri itu, cakap-cakap begini boleh menjatuhkan semangat penyokong BN," katanya.


PRESIDEN GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong (empat, kiri) ketika sidang media selepas mesyuarat tertutup serta lawatan kerja Perdana Menteri ke Parti GERAKAN Malaysia di Menara PGRM, hari ini. - Foto Aizuddin Saad

Penganalisis politik di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Felo Bersekutu Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata keputusan mengenai pengagihan kerusi untuk parti komponen sewajarnya diputuskan oleh Perdana Menteri.

Katanya, langkah MCA dan GERAKAN mengumumkan mengenai jumlah kerusi yang mahu mereka tandingi pada PRU-14 mendahului Perdana Menteri sebagai Pengerusi BN.

"MCA dan GERAKAN patut lebih fokus kepada usaha memikat hati pengundi bukan Melayu khususnya masyarakat Cina. Apa yang sudah mereka buat selama ini? Jangan mengharapkan UMNO semata-mata untuk menarik pengundi bukan Melayu.

"Kedua-dua parti itu sepatutnya lebih ke hadapan dalam memperjelas isu mempertahankan kerajaan kepada pengundi bukan Melayu. BN bertahan atas semangat permuafakatan.

"Pembahagian kerusi perlu dibincangkan secara keluarga bukan diuar-uarkan di media kerana dilihat seolah-olah memberi tekanan," katanya.

3799 dibaca
Berita Harian X