Sabtu, 18 November 2017 | 7:43pm
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz (tengah) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh, Datuk Zainun Mat Nor (tengah dua kiri) bergambar bersama pelajar Kolej Komuniti Chenderoh pada program Touch Point Cabinet Away Day 2017 di Dewan Orang Ramai Lubuk Merbau, Kuala Kangsar. - Foto Abdullah Yusof
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz ketika sidang media program Touch Point Cabinet Away Day 2017 di Dewan Orang Ramai Lubuk Merbau, Kuala Kangsar. - Foto Abdullah Yusof

Pembubaran PPBM petanda baik

KUALA KANGSAR: Pergolakan yang berlaku dalam kepemimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), termasuk pembubaran beberapa bahagian parti itu petanda baik bahawa sokongan akan kembali kepada UMNO.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata, PPBM ditubuhkan daripada kekecewaan pemimpin terdahulu terhadap UMNO.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata, kepincangan di peringkat bahagian parti berkenaan juga membuktikan bahawa parti itu tidak berpaksikan kepada matlamat perjuangan yang tulen.

"Sebab tertubuhnya parti itu pun matlamatnya tidak betul ... kerana marah. Marah tidak dapat jawatan. Marah digugurkan. Jadi mereka buat parti baharu.

"Parti ini dibentuk dengan tujuan untuk mengurangkan sokongan rakyat kepada parti asal. Tujuan penubuhannya juga tidak ikhlas.

"Pada saya eloklah hancur terus supaya mereka kembali kepada kita. Ibarat pepatah, kalau dah sesat elok kembali ke pangkal jalan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Touch Point Cabinet Away Day, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu pergolakan dalam PPBM termasuk pembubuaran beberapa bahagian PPBM yang tidak berpuas hati dengan kepemimpinan parti.

Mohamed Nazri berkata, perpecahan parti berkenaan turut menimbulkan persepsi kepada pihak tertentu bahawa masyarakat Melayu mudah berpecah belah.

"Kalau Melayu berpecah, orang mula mempersoalkan perkara yang menjadi biasa kepada kita, sebab nampak seolah-olah kita dah berpecah. Kalau kita bersatu, saya tidak fikir orang berani sentuh beberapa isu termasuk larangan pemakaian tudung di kaunter hadapan hotel.

"Kita lemah kalau berpecah. Pepatah ada berkata, kalau pokok dah tumbang, kura-kura pun boleh panjat. Jadi janganlah tumbang," katanya.

Beliau berkata, UMNO bagaimanapun terbuka untuk menerima kembali ahli PPBM yang keluar parti.

3589 dibaca
Berita Harian X