Khamis, 12 Oktober 2017 | 12:31pm
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud. - Foto Shahrinnahar Latib

Gimik murahan DAP bertanding di Pulau Manis

KUANTAN: Hasrat DAP bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) disifatkan gimik murahan dan hanya mahu menunjukkannya sudah bersedia menawan hati orang Melayu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud, berkata beliau secara peribadi terkejut dengan hasrat itu kerana parti itu tidak mempunyai keahlian ramai di kawasan DUN Pulau Manis terletak di bawah Parlimen Pekan yang diwakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, tidak pernah dalam berlaku dalam sejarah pilihan raya DAP meletakkan calon di DUN Pulau Manis yang majoriti pengundinya adalah orang Melayu yang menyokong kuat UMNO pimpinan Najib yang juga Presiden.

"Pelik juga bila dapat tahu DAP hendak bertanding di Pulau Manis, atas alasan apa mereka bertanding pun saya tidak pasti...ahli pun tidak ramai tetapi mungkin ia hanya sebagai satu gimik politik murahan sahaja.

"Atau mereka hendak tunjuk kepada orang ramai bahawa mereka sudah mula hendak menawan hati orang Melayu dengan bertanding di kawasan majoriti pengundi Melayu," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi gabungan pembangkang di Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman ketika dihubungi BH mengesahkan DAP menawarkan diri untuk meletakkan calon di DUN Pulau Manis pada PRU14 dengan alasan ia mempunyai calon bersesuaian.

Susulan itu, gabungan pembangkang yang terdiri daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bersetuju memberi laluan kepada DAP yang difahamkan akan meletakkan personaliti dari kaum Melayu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Khairuddin yang mewakili Barisan Nasional (BN) di DUN Pulau Manis menang dengan majoriti 5,596 undi dengan menewaskan calon PAS, Othman Bakar.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, UMNO dan BN tidak akan memandang rendah cabaran DAP walaupun hakikat sebenarnya agak sukar untuk parti berkenaan bertapak di DUN Pulau Manis tanpa ada sebarang asas kukuh.

"Kita sentiasa bekerja kuat dan membantu rakyat selaras arahan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, sebab itu kita tidak bimbang kerana yakin rakyat beri sokongan apabila tiba masanya nanti.

"Kita tidak peduli bagaimana DAP buat persediaan di DUN Pulau Manis, paling penting kita (UMNO serta BN) sendiri sudah mula menggerakkan jentera," katanya.

804 dibaca
Berita Harian X