Ahad, 8 Oktober 2017 | 4:53pm
TIMBALAN Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamad pada sidang media di Bangunan UMNO negeri di Ipoh, hari ini. - Foto Abdullah Yusof

BN Perak bidas dakwaan Kor Ming

IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak membidas dakwaan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, bahawa ia membawa seramai 56,323 orang pengundi hantu ke negeri berkenaan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Timbalan Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamad, berkata dakwaan itu tidak berasas sama sekali dan jelas cubaan untuk meraih simpati daripada pengundi di Perak.

Katanya, kenyataan pemimpin DAP itu juga siri pembohongan yang dimulakan sejak awal berdasarkan karakter peribadi Kor Ming yang gemar bermain dengan angka sejak kemunculannya dalam politik pada 1999.

"Sebelum PRU-13 pun DAP sudah menggembar-gemburkan kononnya BN membawa pengundi hantu ke negeri Perak. Sebaik saja kalah, mentor beliau iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, mencanang kononnya seramai 40,000 pengundi Bangladesh didaftarkan. Kita minta bukti tetapi sampai sekarang mereka gagal mengemukakan bukti berkenaan," katanya pada sidang media di Bangunan UMNO negeri di sini hari ini.

Saarani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri berkata, jika Kor Ming mendakwa perpindahan pengundi ke Perak sebagai pengundi hantu, pemimpin DAP itu perlu menjelaskan istilah yang sepatutnya diberikan kepada perpindahan pengundi dari Perak ke Johor.

"Sekiranya perpindahan pengundi itu diistilahkan sebagai pengundi hantu, berapa ramai 'hantu' berpindah dari Perak ke Johor?

"Seramai 1,504 pengundi Cina dari beberapa negeri berpindah ke Parlimen Tebrau, Johor dan 607 daripadanya dulu mengundi di Perak.

"Selain itu, seramai 990 pengundi Cina dahulunya mengundi di tempat lain dan sekarang berdaftar di Gelang Patah, adakah ini diistilahkan sebagai pengundi hantu? Hantu apa? Hantu lompat atau hantu terbang?" katanya.

Saarani berkata, pemimpin DAP Perak sengaja mereka-reka angka kerana gelisah dengan peningkatan jumlah pengundi Melayu di negeri itu menjelang PRU-14.

"Pada PRU-13, daftar pemilih negeri Perak menunjukkan bilangan pengundi Melayu tidak pernah melepasi 50 peratus, hanya 48 peratus, jadi Kor Ming dalam kempennya menyebut dengan niat perkauman menggambarkan negeri ini bukan berasaskan negeri Melayu.

"Menjadi tanggungjawab setiap parti untuk menambah bilangan pengundi yang menyokong parti masing-masing, dan hasil kerja keras itu daftar pemilih yang baru diwartakan pada 30 Jun lalu menunjukkan berlaku peningkatan pengundi Melayu di negeri ini.

"Pada 2013, 48 peratus, sekarang sudah melepasi 50 peratus iaitu 50.43 peratus dan ini menimbulkan kegelisahan pada dia (Kor Ming) kerana dia lihat pengundi Melayu telah bertambah hingga terpaksa mencipta cerita kononnya BN (Barisan Nasional) membawa pengundi hantu ke negeri ini," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebelum ini Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan pakatan pembangkang menggunakan taktik psikologi berbalik untuk menakluk negeri ini pada PRU-14.

"DAP dan pakatan pembangkang meyakini untuk memenangi PRU-14 dan menakluk Perak dengan bilangan 39 kerusi di pihak pembangkang dan 20 kepada BN, dengan andaian bahawa 10 peratus pengundi Melayu manakala lima peratus pengundi Cina akan beralih arah kepada pembangkang.

"Sebenarnya apa yang mereka kira itu sama apa yang kami kira, formula digunakan tetapi sebenarnya terbalik.

"Mengikut perkiraan, bukan sahaja dibuat oleh BN, tetapi pengkaji bebas, gambarannya kita meyakini kita menang tidak kurang daripada 39 kerusi," katanya.

511 dibaca
Berita Harian X