Ahad, 8 Oktober 2017 | 3:15pm
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar (kiri) meninjau keadaan lif di Flat Taman Sri Aman sempena Kempen Keselamatan Kebakaran Bersama Bomba, hari ini. - Foto Aswadi Alias

'Saya tak bercita-cita jadi MB' - Noh

PETALING JAYA: "Saya kerja keras bukan kerana nak jadi Menteri Besar (Selangor). Itu pucuk pimpinan dan Allah tentukan," kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

Noh yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, berkata beliau tidak pernah bercita-cita menjadi Menteri Besar dan lebih mengutamakan amanah kepada rakyat berbanding kuasa.

Katanya, mereka yang bercita-cita menjadi Menteri Besar dan wakil rakyat lebih mudah terpengaruh dengan perasaan dengki hingga membawa kepada budaya mencantas dan 'cah keting' sesama sendiri.

"Kalau saya bercita -cita nak jadi Menteri Besar, saya mungkin akan rasa tak selesa jika ada yang dilihat lebih laju naik daripada saya. Saya mungkin mencantas serta tak beri peluang kepada individu itu.

"Semasa saya digugurkan daripada menjadi menteri, saya tetapkan teruskan kerja seperti biasa dan tak merajuk. Ada juga kata apabila saya dapat gelaran Tan Sri, kerjaya politik saya sudah berakhir tapi saya tak kisah.

"Masalahnya, mereka yang ada cita-cita nak jadi calon dan Menteri Besar ini apabila tak dapat, akan rasa kecewa dan mulalah sabotaj, cah keting dan fitnah.

"Amanah (tunaikan) dulu dan apabila menang, semua layak jadi Menteri Besar," katanya pada sidang media sempena Kempen Keselamatan Kebakaran Bersama Bomba Flat Taman Sri Aman di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua BN Parlimen Petaling Jaya Utara (PJU), Tan Gim Tuan; Ketua UMNO Bahagian PJU, Datuk Ikhwan Salim Sujak dan Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sri Aman (PPSA), Baharuddin Abdul Ghani.

Terdahulu, Noh mengumumkan peruntukan RM900,000 bagi membaiki lif serta peralatan pencegahan kebakaran di Flat Taman Sri Aman dan mahu penduduk menubuhkan pasukan bomba komuniti.

Sementara itu, beliau berkata, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali seolah-olah dianggap tidak layak oleh pimpinan PKR dan pakatan pembangkang untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

Katanya, ia terbukti apabila PKR tidak mengusulkan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu ketika pembangkang berjaya merampas Selangor pada 2008.

"Dia jadi ADUN (Bukit Antarabangsa) dua penggal dan Timbalan Presiden PKR. Sepatutnya jadi Menteri Besar, namun PKR lihat Azmin tak ada kelayakan, kredibiliti dan integriti, mereka beri (jawatan Menteri Besar) kepada Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Ketika pembangkang mahu tukar Menteri Besar, sekali lagi PKR tak yakin dengan kepemimpinan Azmin, maka terpaksa dibuat pilihan raya kecil Kajang pada 2014 (Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon).

"Namun akhirnya Allah tentukan Azmin menjadi Menteri Besar di atas linangan air mata Wan Azizah," katanya.

827 dibaca
Berita Harian X