Ahad, 17 September 2017 | 5:45pm
BEKAS Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib bersama kepemimpinan UMNO Selangor.

Mat Taib kembali ke pangkuan UMNO

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, yang sebelum ini bersama PKR, hari ini menyertai semula UMNO.

Kemasukan semula bekas Naib Presiden UMNO itu diumumkan Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak, menerusi satu sidang media khas di Menara Dato' Onn, di sini.

Najib menjelaskan, keputusan Muhammad, yang juga bekas Menteri Kabinet UMNO itu dibuat selepas beliau hilang kepercayaan pada pakatan pembangkang terutama PKR.

"Beliau masuk kembali UMNO kerana keikhlasannya, tanpa ada sebarang tuntutan dan ia dibuat atas kesedaran perjuangan saja tanpa ada niat apa-apa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Ahli Majlis Tetinggi (MT) UMNO di Menara Dato' Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden UMNO, yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Penerangan, Tan Sri Annuar Musa serta Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Hadir sama, Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil serta Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermiyati Samsuddin.

Muhamamad menyertai PAS dan PKR selepas meninggalkan UMNO.

Ditanya sama ada lebih ramai pemimpin pembangkang akan menyertai UMNO selepas ini, Najib berkata: "Kita tunggulah dulu. Sekarang (Parti Pribumi) Bersatu (Malaysia) pun tengah ribut."

Najib berharap kemasukan semula Muhammad itu akan membantu memperkukuhkan UMNO Selangor dalam mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.


BEKAS Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib bersama kepemimpinan UMNO Selangor.

Biodata

TAN SRI MUHAMMAD MUHAMMAD TAIB

* Tarikh lahir: 29 Julai 1945

* Usia 72 tahun

* Lahir di Kampung Sungai Manggis, Kuala Kalumpang, Hulu Selangor, Selangor

* Bekas guru

* Membabitkan diri dalam politik sejak berusia 19 tahun.

* Menang kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Batang Kali pada pilihan raya 1986.

* Dilantik Menteri Besar Selangor yang ketujuh pada Ogos 1986 hingga 1997

* Menjadi anggota Majlis Tertinggi buat pertama kali pada 1987

* Naib Presiden UMNO (2000-2003).

* Dilantik Ketua Penerangan UMNO (Mac 2008-April 2009)

* Dilantik Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (Mac 2008-9 April 2009).

* Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian Kelas Pertama) dalam bidang Sejarah dan Pengajian Melayu dari Universiti Malaya.

* 14 April 2013: Menyertai PAS

* 11 September 2015: Meninggalkan PAS bersama Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar dan menyertai PKR.

11679 dibaca
Berita Harian X