Isnin, 11 September 2017 | 4:53pm
YANG Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Bekas wakil rakyat BN Selangor diminta bantu parti

SHAH ALAM: Semua bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Selangor digesa turun padang membantu parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar, berkata ada segelintir bekas wakil rakyat BN yang enggan tampil membantu parti untuk merampas kembali negeri ini.

"Semasa kita jadi calon dan wakil rakyat dahulu, kita begitu harapkan sokongan rakyat. Begitu juga keadaan dan harapan bakal calon pada PRU14. Kita perlu dapatkan kembali apa yang dibina ini serta kembalikan kegemilangan UMNO dan BN Selangor.

"Ketika ini parti memerlukan sokongan kita. Jadi, saya berharap semua kawan (bekas wakil rakyat) datang menolong (parti). Seperti mesyuarat yang diadakan hari ini, hanya separuh daripada 80 ahli MUBARAK yang hadir," katanya di sini, hari ini.

Mengenai peranan MUBARAK Selangor pada PRU14, Abu Hassan berkata, pihaknya memberi tumpuan kepada usaha untuk menarik pengundi tua yang mewakili 30 peratus daripada bilangan pengundi di negeri ini.

"Wakil MUBARAK ada dalam Majlis Permuafakatan Parlimen BN Selangor. Memang kita sudah gerakkan usaha untuk menarik undi golongan sasaran," katanya.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai keengganan kerajaan Selangor yang menjadi satu-satunya negeri belum menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau berkata, rakyat boleh menilai sendiri perkara itu.

"Dengan pelbagai isu yang membelenggu pentadbiran kerajaan Selangor, saya harap rakyat boleh membuat penilaian sewajarnya pada PRU14," katanya.

SPRM sebelum ini menyerbu beberapa lokasi bagi mendapatkan maklumat dan dokumen berhubung pembayaran RM16 juta oleh Menteri Besar Diperbadankan (MBI) kepada Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) yang menjalankan kerja penyelenggaraan kediaman pelajar di Kampus Induk UNISEL Bestari Jaya.

1563 dibaca
Berita Harian X