Rabu, 30 Ogos 2017 | 4:49pm
TAN Sri Annuar Musa. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

PM lawat Rumah Putih, pembangkang tak senang duduk

KUALA TERENGGANU: Jemputan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donal Trump untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melawat Rumah Putih bulan depan, adalah igauan ngeri buat pembangkang.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata usaha dilakukan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang yang mengeluarkan memorandum mempengaruhi Kabinet supaya tidak membenarkan Najib memenuhi undangan ke AS, membuktikan pembangkang tidak senang duduk dengan kejayaan Perdana Menteri.

"Tindakan Kit Siang membuktikan beliau cuba menukar skrip ciptaannya apabila isu kerugian urus niaga mata wang asing (forex) Bank Negara Malaysia (BNM) dibangkitkannya menuju kehancuran, selepas kerajaan memenuhi desakannya supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCL).

"Beliau hanya mahu memburukkan nama kerajaan dan Perdana Menteri yang diberi mandat sepenuhnya oleh Jemaah Menteri untuk memenuhi undangan Donald Trump membuat lawatan ke White House (Rumah Putih).

"Desakan Kit Siang supaya Kabinet menolak jemputan kerajaan AS kepada Perdana Menteri adalah tidak berasas dan menjadi igauan ngeri kepada pakatan pembangkang," katanya pada sidang media selepas perjumpaan bersama jawatankuasa UMNO negeri, di sini, tengah hari tadi.

Annuar mengulas desakan Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah supaya Kabinet menolak jemputan Presiden AS kepada Najib untuk melawat White House pada 12 September ini.

Beliau berkata, kunjungan Najib yang juga Presiden Barisan Nasional (BN) ke White House mampu meningkatkan hubungan diplomatik dan ekonomi kedua-dua negara, malah jemputan Trump itu adalah satu penghormatan kepada Najib dan Malaysia.

"Lawatan Najib ke AS dijangka memberi impak besar kepada negara terutama dalam membina hubungan strategik lebih erat dan hubungan ekonomi yang lebih bermanfaat.

3062 dibaca
Berita Harian X