Ahad, 13 Ogos 2017 | 7:07pm
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersalaman bersama Ketua UMNO Bahagian PJU, Datuk Ikhwan Salim Datuk Sujak ketika gimik pelancaran Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Petaling Jaya Utara di Evolve, Ara Damansara. - Foto NSTP/Sairien Nafis
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, bersama Ketua UMNO Bahagian PJU, Datuk Ikhwan Salim Datuk Sujak bergambar bersama perwakilan selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Petaling Jaya Utara di Evolve, Ara Damansara. - Foto NSTP/Sairien Nafis

Lupakan sengketa lama untuk tawan Selangor

PETALING JAYA: Rakyat Selangor perlu melupakan sengketa lama dengan pemimpin terdahulu yang dikesan menyebabkan pembangkang mengalahkan Barisan Nasional (BN) di negeri itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata banyak isu timbul menjelang PRU12 seperti merobohkan kuil dan memberikan hadiah penyapu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sehingga menimbulkan kemarahan rakyat.

Katanya, Menteri Besar ketika itu (Dr Mohamad Khir Toyo) tiada lagi dalam kepimpinan UMNO dan BN sekarang dan sepatutnya rakyat melupakan kesilapan pemimpin itu dengan tidak berdendam dengan BN.

Bagaimanapun, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN tidak menyebut jumlah kuil dirobohkan dan PBT yang menerima hadiah penyapu.

"Itu dikesan punca kekalahan dalam PRU12 dan dalam PRU13 kita kalah lagi di Selangor dan kepimpinan BN khususnya UMNO Selangor perlu mencari punca kekalahan itu untuk mengembalikan Selangor kepada BN dalam PRU14 nanti.

"Saya sedih Selangor ini, lepas kerajaan BN bagi pembangunan sehingga memperoleh rizab berbilion senang-senang bagi pada pembangkang (sejak 2008).

"Saya rayu, India, Cina dan Melayu tolong renungkan siapa kita dahulu dan bagaimana kita dapat capai semua ini tanpa BN, ia bukan datang dengan keajaiban," katanya.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara di Ara Damansara, di sini.

Yang turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara, Datuk Ikhwan Salim Sujak.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata, jika bukan kerana BN, pembangunan, pendidikan dan keselamatan dinikmati rakyat Selangor sekarang tidak dapat dicapai.

Namun, katanya, agak menyedihkan apabila majoriti rakyat Selangor kekal memilih pembangkang dalam PRU13 dan punca mereka berbuat demikian masih gagal dikesan.

"Sebab itu saya mahu BN khususnya UMNO Selangor mencari punca kenapa mereka ditolak, buat bedah siasat untuk memudahkan kita menawan Selangor dalam pilihan raya nanti," katanya.

Berita Harian X