Ahad, 13 Ogos 2017 | 6:44pm
NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (dua dari kiri) bersalaman dengan ahli UMNO ketika hadir pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Labuan, di Palm Beach Resort SPA, Batu Manikar, Labuan. Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Rozman Isli (kiri). - Foto Azri Onn.

Perpaduan, roh perjuangan pastikan UMNO terus berkuasa

LABUAN: Roh perjuangan dan perpaduan perlu terus menjadi elemen terpenting yang harus dipelihara setiap ahli UMNO bagi membolehkan parti itu terus berkuasa di negara ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata dua faktor itu menjadi tunjang kekuatan parti, namun sebaliknya akan membawa kepada perpecahan sekiranya tiada dalam jiwa ahli.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Labuan di sini.

Yang turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Rozman Isli serta Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Bashir Alias.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) harus dipertahankan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi membolehkan agenda pembangunan yang dirancang dapat diteruskan.

Katanya, sekiranya gabungan itu kalah, ia menyebabkan agenda bangsa tergendala dan perjuangan agama terkandas.

"Kita telah memulakan banyak perkara besar dan mesti menerus serta menyempurnakannya. Labuan mesti menang dengan majoriti lebih besar dan kerajaan Persekutuan juga mesti dibentuk dengan majoriti sama.

"Tanpa semua ini, kita tidak dapat menjadi kerajaan yang kuat dan efektif serta tidak boleh terus mentadbir dalam keadaan berkuasa tetapi sangat terbatas," katanya.

Beliau juga mahu UMNO Labuan dijadikan contoh kepada bahagian lain kerana kemantapan dan   perpaduan kukuh dalam kalangan pemimpin serta ahlinya.

140 dibaca
Berita Harian X