Sabtu, 5 Ogos 2017 | 5:42pm
KETUA Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil. - Foto Aswadi Alias

Fitnah jadi senjata pecah belahkan UMNO

KOTA TINGGI: Kesatuan di antara pemimpin dan ahli UMNO adalah elemen paling menakutkan parti pembangkang sehingga mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk meruntuhkan benteng parti itu.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, berkata pemimpin UMNO yang menerajui Barisan Nasional (BN) sentiasa menggunakan hati budi dan pembangkang menggunakan fitnah untuk melunturkan keyakinan ahli dan rakyat terhadap kepemimpinan BN.

"Jangan kita biar pembangkang dengan cerita karut yang memecah belahkan. Jangan kita melatah apabila dijentik oleh pembangkang yang akan membawa perpecahan antara pemimpin utama dan kita perlu jadi benteng. 

"Ini satu cara pembangkang pecah belahkan kita kerana mereka takut perpaduan dan kesatuan yang wujud dalam UMNO. Jangan pula kita percaya atau melipat gandakan fitnah ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tahunan UMNO Bahagian Tenggara 2017 di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, di sini hari ini. Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja.

Shahrizat berkata, pemimpin UMNO juga sentiasa berada dalam lingkungan rakyat dan menyantuni masalah mereka berbanding pemimpin parti pembangkang yang hanya pandai bercakap politik serta menabur fitnah.

Beliau turut meletakkan syarat untuk BN memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 jentera ialah jentera parti sentiasa diperkukuhkan manakala pemimpin serta ahli parti perlu mempunyai displin yang tinggi. 

Katanya, rekod perkhidmatan kerajaan BN adalah antara yang terbaik di dunia sekali gus menjadi sebab parti itu mampu memerintah sehingga lebih enam dekad. 

526 dibaca
Berita Harian X