Sabtu, 5 Ogos 2017 | 12:50pm
GAMBAR fail, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. - Foto NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Tun M dicabar sumpah laknat tuduhan terhadap Zahid

BALING: Tun Dr Mahathir Mohamad, dicabar mengangkat sumpah laknat untuk membuktikan dakwaan beliau kononnya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, cuba menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Cabaran itu disuarakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, selepas yakin dakwaan berhubung perjumpaan bekas Perdana Menteri itu dengan Ahmad Zahid 10 hari selepas dilantik Timbalan Perdana Menteri, adalah tidak benar.

"Kalau Datuk Seri Najib berani buat sumpah laknat mengatakan tak terlibat dan tak kenal Altantuya (model kelahiran Mongolia, Altantuya Shaaribuu, yang mati dibunuh kejam)...kenapa Mahathir tak boleh.

"Saya percaya kunjungan Datuk Seri Zahid (berjumpa Mahathir) untuk menyatupadukan dan tawar diri untuk sama-sama bantu supaya tak ada jurang perpecahan.

"Kalau betullah Datuk Zahid pergi situ (jumpa Mahathir) nak minta sokongan sebab nak jatuhkan Datuk Seri Najib (seperti didakwa Mahathir), saya minta Tun Mahathir buat angkat sumpah laknat...saya cabar dia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Baling yang disempurnakan Ahmad Zahid selaku Naib Presiden UMNO, di sini, pagi ini.

Abdul Azeez yang juga Ketua UMNO Bahagian Baling ketika mengulas isu sama, percaya tuduhan dibuat Mahathir mempunyai agenda tertentu.

"Saya kaji isu ini dan saya lihat sebab utama dia (Mahathir) nak pecahkan keutuhan tali silaturrahim antara Datuk Seri Zahid, Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Hisham (Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein)," katanya.

6566 dibaca
Berita Harian X