Rabu, 19 Julai 2017 | 3:34pm
NAZIR Hussin Akhtar Husin. - Foto Rosela Ismail

'Nothing To Hide 2.0' buang masa - Nazir Hussin

KUALA LUMPUR: Debat 'Nothing To Hide 2.0' anjuran Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), adalah muslihat Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menunjukkan kehebatannya beretorik, sedangkan program itu tidak memberi faedah kepada rakyat dan buang masa.

EXCO Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin, berkata ini kerana isu mahu dibangkitkan pengerusi pakatan pembangkang itu sudah dijawab berkali-kali, sama ada oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri atau pihak berkaitan.

"Tidak guna berdebat kerana tidak akan mencapai apa-apa matlamat dan sia-sia. Penganjuran program itu tidak jelas kerana hanya mencari kesalahan pemimpin khususnya Perdana Menteri dan tidak membantu menyelesaikan masalah rakyat.

"Lebih baik jika Dr Mahathir menggunakan program itu untuk menjawab dakwaan daripada Exco Armada PPBM, Muhammad Hafiz Azhar terutama mengenai kekayaan luar biasa anak beliau dan juga skandal Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, " katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, dalam program itu juga, Dr Mahathir perlu jelaskan kepada rakyat sama ada beliau masih kekal dan konsisten dengan kenyataannya Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan perbuatan di luar tabii seperti didakwanya pada 1998.

Katanya, seperti diminta Perdana Menteri sebelum ini, selagi semua tuduhan itu tidak dijawab Dr Mahathir, rakyat jelata akan sangsi sekali gus ia hanya mainan dan sandiwara politik yang tiada keikhlasan.

"Jika perlu, Dr Mahathir boleh bersumpah di hadapan al-Quran bahawa tindakan beliau pada 1998 hanya pembohongan belaka dan semata-mata untuk menyelamatkan politiknya.

"Kami berharap Dr Mahathir cermin diri dulu sebelum ghairah mahu membogelkan pihak lain. Kami juga harap Dr Mahathir berehat sahaja daripada politik kerana usianya yang hampir satu abad, " katanya.

1458 dibaca
Berita Harian X