Ahad, 16 Julai 2017 | 8:54pm

'Nothing To Hide 2.0', jemputlah anak Tun M


NAZIR (tengah) pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Hulu Langat, di Kajang. - Foto Rosela Ismail

KAJANG: Forum 'Nothing To Hide 2.0' anjuran pembangkang sepatutnya menjemput anak Tun Dr Mahathir Mohamad bagi memberi penjelasan kekayaan mereka.

EXCO Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Husin, berkata Dr Mahathir perlu menjemput Tan Sri Mohzani, Mirzan dan Datuk Seri Mukhriz serta Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ahli panel forum menjelaskan kekayaan luar biasa mereka dan dakwaan skandal seks Muhyidddin.

"Armada (Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia) pun ada bertanyakan isu ini tetapi Dr Mahathir tidak ada jawapan. Sepatutnya beliau (Dr Mahathir) menggunakan forum ini sebagai platform beliau dan anaknya untuk bersihkan daripada tohmahan, tuduhan dan isu semasa.

"Dr Mahathir perlu guna forum sama tujuan parti harapan yang rapuh ini, pakatan ini sangat cacamerba, punya tiga jawatan dan tidak tahu siapa punya jawatan eksekutif.

"Kita maklum, Anwar (Datuk Seri) tidak boleh menjadi Perdana Menteri ke-7. Mereka kena jelaskan siapakah Perdana Menteri ke-7 pembangkang, " katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Hulu Langat, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengecam tindakan Dr Mahathir mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir forum Nothing To Hide 2.0 di lokasi dan tarikh belum ditentukan untuk sama-sama menjelaskan isu semasa kepada rakyat.

Katanya, tindakan mencabar itu adalah satu polemik pembangkang yang ketandusan modal dan isu.

Nazir yang juga Ketua Pemuda UMNO bahagian Titiwangsa, berkata Najib tidak perlu melayan cabaran itu dan menjelaskan isu dimainkan pembangkang itu.

Pada 14 Julai lalu, Dr Mahathir mencabar Najib untuk hadir forum 'Nothing to Hide 2.0' di lokasi dan tarikh belum ditentukan, anjuran Armada PBPM.

Berita Harian X