Ahad, 16 Julai 2017 | 8:37pm

Puteri UMNO perlu bersedia 'politik langit terbuka'

SEPANG: Puteri UMNO perlu bersedia berdepan dengan 'politik langit terbuka' yang dikuasai media sosial, terutama melengkapkan diri dengan ilmu internet bagi terus mempertahankan kewibawaan UMNO di alam maya.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin, berkata hanya penggunaan teknologi baharu menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang mampu menangkis tohmahan pihak lawan selain menaikkan dan mempertahankan kedudukan UMNO di persada politik negara.


Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin. - Foto Mohd Fadli Hamzah

"Amalan politik lama kini semakin tidak relevan, malah saban hari melalui perubahan besar di mana pengaruh media baharu lebih tertumpu kepada penghujahan, perdebatan dan perbincangan, yang perlu dibalas menggunakan pentas yang sama berlandaskan bukti serta fakta.

"Pada masa lalu, kita bergantung kepada politik mengikut kaum, yang membaca surat khabar bahasa ibunda mereka sendiri, namun pada masa kini cara politik sudah berubah menjadi terbuka dan dikuasai media sosial.

"Ini bermakna kita akan ketinggalan jika kita leka, sebaliknya kita juga perlu memantapkan strategi politik di media sosial," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Sepang 2017 di Dewan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Bandar Baru Salak Tinggi, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Sepang, Datuk Marsum Paing. Seramai 228 ahli mewakili 60 cawangan Puteri UMNO seluruh kawasan Sepang turut menghadiri mesyuarat itu.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata sudah tiba masanya ahli UMNO diberi keistimewaan untuk mendapatkan pekerjaan di sektor kerajaan dan keutamaan peluang rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA).

Katanya, perkara itu sememangnya antara isu penting yang sentiasa diperjuangkan Puteri UMNO sebagai salah satu usaha dalam menghargai peranan dan pengorbanan ahli-ahlinya untuk parti.

132 dibaca
Berita Harian X