Ahad, 16 Julai 2017 | 4:36pm

Tun M perlu perjelas kenyataan berhubung Anwar - PM


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Rumah Terbuka UMNO 2017, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan kepada rakyat adakah beliau masih berpegang kepada kenyataannya mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998.

"Banyak persoalan berlegar dalam kepala orang ramai. Pertamanya, adakah Dr Mahathir masih kekal dengan kenyataan lamanya yang dia tuduh Anwar melakukan perbuatan luar tabii.

"Sehinggakan dia kata Anwar ini pemimpin yang tak ada maruah, oleh itu tak boleh memimpin negara," katanya ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka UMNO 2017, hari ini.

Najib menjelaskan, kenyataan Dr Mahathir itu kini menjadi persoalan besar rakyat sama ada tuduhan itu tidak betul atau beliau sanggup korbankan prinsip lamanya.

"Apakah ia untuk tujuan politik hari ini ataupun ada muslihat lain? Jadi, selagi semua ini tidak dijawab oleh beliau, orang ramai akan sangsi bahawa ini adalah mainan dan sandiwara politik, tidak ada keikhlasan," katanya.

Pada satu sidang media pada 22 September 1998 yang dibuat Dr Mahathir, bekas perdana menteri itu mendakwa Anwar terbabit dalam perlakuan luar tabii dan tidak layak menjadi pemimpin negara.

230 dibaca
Berita Harian X