Ahad, 16 Julai 2017 | 3:15pm

'Jangan jadi musuh dalam selimut'


KETUA UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman bergambar dengan orang ramai pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Kimanis, di Membakut, hari ini. - Foto Malai Rosmah Tuah

MEMBAKUT: Ahli UMNO perlu mengekalkan sikap taat setia kepada parti dan tidak menjadi 'gunting dalam lipatan', 'musuh dalam selimut' atau 'duri dalam daging'.

Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman, berkata tidak guna berada dalam sesebuah parti sekiranya ahli menyokong parti pembangkang.

"Tiada guna kita berada dalam parti jika berkempen untuk parti pembangkang. Orang seperti ini tiada pendirian dan layak digelar pengintip.

"Mereka bukan saja mengkhianati parti malahan juga agama, bangsa dan negara. Jika mahu keluar daripada parti, buat dengan betul.

"Oleh itu, saya mahu semua lebih 1,000 ahli Jalinan Rakyat (JR) Plus Bahagian Kimanis terus bekerja dengan taat demi mengukuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN)," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Kimanis, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua UMNO Kimanis, Datuk Mohd Arifin Arif; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Datuk Mohamad Alamin dan Ketua Wanita UMNO Kimanis, Surayah Ibrahim.

Anifah yang juga Menteri Luar turut meminta semua ahli UMNO memperkukuh dan memperkuatkan parti termasuk menyokong siapa juga calon dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau turut mengingatkan ahli UMNO supaya tidak mencaci atau menghina mana-mana pemimpin termasuk daripada parti pembangkang ketika berkempen.

"Saya percaya semua ahli UMNO termasuk ahli JR Plus sentiasa berkempen secara berhemah. Kita berkempen bukan hanya untuk memenangkan parti, malah perlu menjaga maruah pemimpin dan parti yang kita wakili.

"Jangan menghina atau mencaci calon lain ketika berkempen termasuk daripada pembangkang kerana kita juga hanya manusia biasa yang tidak sempurna.

"Jika pun kita mengkritik orang lain, ia perlu dilakukan secara berhemah," katanya .

Dalam pada itu, Anifah berkata, UMNO Kimanis terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan Naib Presiden menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Berita Harian X